Sabtu, 15 Mei 2021 | 7:02pm
TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Penindasan Israel, rampas tanah punca konflik dengan Palestin

KUALA LUMPUR: Konflik Palestin-Israel bukan tercetus disebabkan pergeseran agama atau politik, sebaliknya berpunca daripada perbuatan rejim zionis itu menindas hak asasi serta merampas tanah milik penduduk Palestin secara haram.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ketika mengutarakan pendirian itu, berkata agama dan politik hanya dijaja bagi mengaburi alasan sebenar konflik di wilayah bergolak berkenaan.

Katanya, momokan sedemikian turut disebarkan media global, kononnya konflik Palestin-Israel berkisar kepada perang agama, terutama berikutan peningkatan siri keganasan terbaharu yang tercetus bulan Ramadan lalu.

"Awal bulan ini, Mahkamah Agung Israel dijangka membuat keputusan sama ada menyokong pengusiran keluarga Palestin dari Sheikh Jarrah, bagi memihak kepada peneroka Israel.

"Orang-orang Palestin mendiami Sheikh Jarrah sejak mereka ditempatkan semula di sana pada 1950 oleh Jordan, semasa penciptaan Israel pada 1948.

"Walaupun mahkamah-mahkamah di Israel mengakui dan memperkasakan status undang-undang peneroka Israel, harus diingat bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai banyak resolusi yang mengecam penerokaan Israel sebagai tidak sah dan melanggar Konvensyen Geneva Keempat.

"Lebih memburukkan keadaan, keganasan melampau didalangi zionis terhadap rakyat Palestin dan ini dibuktikan dengan jumlah kematian terbaharu yang menjangkau 100 orang di wilayah Gaza, termasuk sembilan kanak-kanak," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagi menyelami keadaan rakyat Palestin, Ahmad Faizal memberikan analogi mudah dengan membayangkan mengenai sebuah pasukan penjajah yang masuk ke rumah dan mengusir seisi keluarga menggunakan paksaan semata-mata.

Katanya, penjajah berkenaan kemudian mula hidup di kediaman berkenan, sebelum seisi keluarga terpaksa berjuang untuk merebut kembali harta benda mereka, tatkala diserang dan dibunuh dengan kejam bagi tuntutan yang dibuat.

"Selama ini, dunia hanya memerhatikan. Inilah sebabnya mengapa dunia tidak hanya cukup dengan mengutuk serangan ini. Fakta bahawa penerokaan Israel dianggap sebagai tidak sah berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa mesti dikuatkuasakan masyarakat global.

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif masyarakat sivil global, adalah diharapkan bahawa kumpulan masyarakat sivil Malaysia dapat membantu mengembangkan lagi naratif bahawa isu sebenar bagi konflik ini ialah berkaitan pencurian tanah dengan paksaan yang kejam.

"Lebih banyak tekanan perlu diberikan kepada negara anggota PBB dalam menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi yang dibuat tidak terkira banyaknya. Sehinggalah ke saat itu, pencurian tanah dan harta benda Palestin akan berlanjutan sehingga tidak ada lagi tanah untuk dicuri," katanya.

Berita Harian X