Sabtu, 15 Mei 2021 | 5:37pm
Siti Khodijah Ab Manaf, 32, meninggal jam 2.50 pagi semalam di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Siti Khodijah Ab Manaf, 32, meninggal jam 2.50 pagi semalam di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Tunggu laporan kimia sahkan punca kematian wanita

SUNGAI PETANI: Polis menunggu laporan Jabatan Kimia untuk mengetahui punca kematian Siti Khodijah Ab Manaf, 32, semalam selepas dia koma 26 hari dipercayai akibat pendarahan dalam kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata bedah siasat dilakukan lebih dua jam bermula 11 pagi hingga 2.30 petang di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, hari ini.

Punca kematian mangsa setakat ini belum dapat dipastikan lagi dan perlu mendapatkan analisis makmal. Setakat ini, percakapan doktor sudah dirakam dan mengesahkan tidak ada kesan kecederaan baru atau lama akibat dipukul pada anggota badan wanita itu.

"Malah, pemeriksaan juga mendapati tiada kecederaan serius pada bahagian anggota badan lain namun hanya kesan lebam akibat jarum dari rawatan memasukkan ubat-ubatan pada badannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, pemeriksaan pada paru-paru mangsa pula mendapati kesan jangkitan kuman yang serius akibat rawatan memasukkan tiub ketika pembedahan dijalankan.

Selain itu katanya, mangsa juga turut menghidap penyakit SLE di mana tekanan darah boleh naik ke bahagian kepala yang boleh menyebabkan saluran darah pecah.

"Doktor akan memberi laporan penuh selepas selesai sampel dianalisa dari makmal. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Media semalam melaporkan, empat anak Siti Khodijah merindui ibu mereka dan mengharapkan arwah pulang ke rumah untuk menyambut Aidilfitri.

Namun, wanita itu meninggal dunia pada jam 2.50 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum jenazahnya dihantar ke HSB di Alor Setar untuk dibedah siasat.

Arwah meninggalkan empat anak berusia dua hingga lapan tahun yang kini dijaga nenek mereka di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir, di sini.

Berita Harian X