Khamis, 13 Mei 2021 | 3:49pm
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini merekodkan 4,855 kes positif baharu COVID-19. - Foto hiasan NSTP
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini merekodkan 4,855 kes positif baharu COVID-19. - Foto hiasan NSTP
Kes harian COVID-19 untuk 13 Mei 2021
Kes harian COVID-19 untuk 13 Mei 2021

4,855 kes COVID-19 hari ini

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini merekodkan 4,855 kes positif baharu COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini sejumlah 458,077 kes dilaporkan, sejak Januari tahun lalu.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 1,783 kes, disusuli Kuala Lumpur dengan 521 kes, Johor (467) dan Sarawak serta Pulau Pinang yang masing-masing mencatatkan 395 kes positif, setakat tengah hari tadi.

Katanya, sebanyak 4,852 kes ialah penularan tempatan dengan 4,494 kes membabitkan warganegara, manakala 358 warga asing dan tiga kes import pula semuanya bukan warganegara.

Setakat tengah hari tadi juga, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 3,347 kes sudah pulih menjadikan 414,707 atau 90.5 peratus kes sembuh direkodkan, manakala 41,582 kes masih aktif.

"Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ialah 481 kes dengan kes memerlukan bantuan pernafasan 247 kes.

"Terdapat 27 kes kematian pada hari ini yang membabitkan lapan kes di Selangor, lima kes di Johor, tiga kes di Kelantan, masing-masing dua kes di Sabah, Kuala Lumpur, Sarawak, dan Pulau Pinang, serta masing-masing satu kes di Perak, Pahang, dan Labuan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua kes kematian itu membabitkan rakyat tempatan, berusia antara 37 hingga 83 tahun.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengesan lapan kluster baharu hari ini menjadikan jumlah kluster direkodkan sebanyak 1,848 kluster.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 1,391 kluster sudah tamat, manakala 457 kluster masih aktif.

Beliau berkata, sebanyak 99 kluster aktif menunjukkan peningkatan kes, dengan Kluster Jalan Baling di Perak dan Kedah mencatatkan 90 kes baharu, diikuti Kluster Jalan Besar Sungai Jawi di Pulau Pinang, Kedah dan Perak merekodkan 79 kes baharu serta Kluster Jalan Ungku Abdul Aziz di Johor dengan 66 kes baharu.

Berita Harian X