Rabu, 12 Mei 2021 | 8:16pm

Malaysia catat kematian tertinggi 39 kes hari ini

PUTRAJAYA: Negara mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini, dengan 39 kes dilaporkan, setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 37 daripada kematian membabitkan warganegara manakala dua bukan warganegara.

Sehingga kini, katanya, kes kematian membabitkan COVID-19 di negara ini direkodkan sebanyak 1,761 kes kumulatif atau 0.39 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan.

"Terdapat 39 kes kematian pada hari ini (semalam) yang membabitkan 10 kes di Johor, lapan kes di Kuala Lumpur, lima kes di Selangor, tiga kes di Sabah, masing-masing dua kes di Kedah, Sarawak, Kelantan, dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, dan Putrajaya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua mangsa berusia antara 43 hingga 88 tahun dan kebanyakannya menghidap pelbagai penyakit kronik manakala tiga kematian tiada rekod kesihatan dilaporkan.

Berita Harian X