Rabu, 12 Mei 2021 | 1:49pm

PKP: Kenyataan media tiada versi bahasa Inggeris

PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri hari ini menafikan mereka mengeluarkan kenyataan media keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Isnin lalu dalam bahasa Inggeris.

Sebaliknya Pejabat Perdana Menteri menegaskan kenyataan itu hanya dibuat dalam bahasa Melayu.

"Merujuk kepada kenyataan media Perdana Menteri berhubung pelaksanaan PKP berbahasa Inggeris yang tular dan didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, ingin ditegaskan bahawa pejabat ini hanya mengeluarkan kenyataan yang dimaksudkan dalam bahasa Melayu," katanya dalam satu kenyataan.

Sejak semalam, tular di media sosial tangkap layar yang memperolokkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kenyataan yang kononnya dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hasut maya itu adalah berkenaan penggunaan frasa 'Aidilfitri circumcision prayers' sebagai terjemahan kepada 'solat sunat Aidilfitri'.

Semakan mendapati, frasa dalam bahasa Ineggeris itu adalah hasil terjemahan menggunakan aplikasi Google Translate.

Berita Harian X