Rabu, 12 Mei 2021 | 1:35pm
Pekebun tembikai, Ain Izuadin Mohd Ghazali termenung memikirkan kaedah untuk memasarkan tembikai dari ladangnya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Pekebun tembikai, Ain Izuadin Mohd Ghazali termenung memikirkan kaedah untuk memasarkan tembikai dari ladangnya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Pekebun tembikai Kampung Ubai bakal rugi kali kedua

KUANTAN: Tempias Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mula dirasai 17 pekebun tembikai Kampung Ubai, di sini apabila hasil tanaman mereka yang kini sudah mula masak tidak dapat dipasarkan mengikut jadual.

Pekebun ditemui berpendapat mereka sekali lagi akan menanggung kerugian selepas episod sama berlaku awal tahun lalu.

Pekebun muda Ain Izuadin Mohd Ghazali, 26, berkata setiap tahun jadual pengeluaran tanaman tembikai pekebun Kampung Ubai berlaku sepanjang April hingga Mei, hasil akan dituai secara berperingkat mengikut permintaan.

Tahun lalu majoriti pekebun rugi besar apabila buah tidak dapat dipasarkan disebabkan PKP, selain dijual kepada pemborong aktiviti jualan bawah khemah dibuat di tepi Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai.

"Tahun lalu saya rugi kira-kira RM9,000 apabila buah tidak dapat dijual seterusnya rosak, pekebun lain mengalami nasib yang sama malah ada yang lebih besar jumlah kerugian.

"Sebahagian besar hasil akan keluar secara berperingkat namun disebabkan jumlah pekebun yang ramai akan berlaku lambakan," katanya mengusahakan tanaman tembikai jenis boci seluas lebih 1.6 hektar.

Pekebun tidak menyangka PKP diadakan seluruh negara berlaku sekali lagi, menyebabkan impian meraih pendapatan hasil kebun tidak menjadi kenyataan lagi buat kali kedua berturut-turut.

Ain berkata, dia terpaksa menggunakan media sosial untuk memasarkan sebahagian hasil tembikainya, namun terdapat masih banyak buah belum dipetik disebabkan pasaran yang terlalu pelahan.

"Jualan bawah khemah tepi Jalan Kuantan-Pekan tidak serancak sebelum ini berikutan sekatan rentas daerah, pekebun kini hanya mampu berserah selain berharap ada pihak dapat membantu," katanya yang mengeluarkan lebih RM21,000.

Rakannya Ramli Botok, 62, berkata dia sepatutnya sudah memasarkan hasil secara berperingkat namun disebabkan tiada pasaran memaksa buah tembikai dibiarkan di kebun seluas lebih 1.6 hektar.

Pekebun tembikai, Ramli Botok. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Pekebun tembikai, Ramli Botok. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

"Sebanyak kira-kira 25 tan buah sedia dipasarkan pada musim kali ini namun hingga kini jualan tidak dapat dilakukan disebabkan tiada pasaran.

"Pemborong tidak boleh datang untuk mengambil buah dan aktiviti jualan tepi jalan kurang sambutan, pastinya saya sekali lagi akan rugi selepas mengeluarkan modal RM20,000," katanya yang mengusahakan tanaman tembikai jenis boci sejak lebih 40 tahun lalu.

Berita Harian X