Rabu, 12 Mei 2021 | 12:58pm

COVID-19: Enam negeri catat kebolehjangkitan 1.20

KUALA LUMPUR: Sebanyak enam negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 pada nilai 1.20 dan ke atas, semalam.

Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di laman Twittter hari ini, negeri berkenaan adalah Kedah, yang mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.28, diikuti Terengganu (1.23), Pahang dan Perak (1.22) serta Melaka dan Negeri Sembilan (1.20).

Dr Noor Hisham memaklumkan, nilai Rt bagi seluruh negara semalam pula adalah 1.12, sedikit menurun berbanding 1.13 yang dicatatkan kelmarin.

Sementara itu, bagi negeri lain, Pulau Pinang mencatatkan nilai Rt 1.17, diikuti Selangor (1.15), Johor (1.13), Kuala Lumpur (1.10), Putrajaya (1.04) dan Sarawak (1.00).

Dua negeri mencatatkan nilai Rt di bawah satu iaitu Kelantan (0.96) dan Sabah (0.91), manakala Labuan mencatatkan tiga kes dan Perlis pula tiada kes.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu jumlah individu yang boleh dijangkiti oleh satu individu yang positif virus itu. Semakin besar nilai Rt, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif berkenaan.

Semalam, sebanyak 3,973 kes baharu COVID-19 dilaporkan di negara ini, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 448,457 kes.

Bagi mengekang penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula hari ini hingga 7 Jun.

Serentak itu, rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP kecuali atas tujuan yang mendapat kebenaran pihak berkuasa, manakala aktiviti sosial termasuk kunjung-mengunjung pada Aidilfitri turut dilarang.

Berita Harian X