Rabu, 12 Mei 2021 | 12:04pm
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto fail NSTP
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto fail NSTP

Bersama perangi COVID-19

PUTRAJAYA: Pendekatan membabitkan semua pihak untuk menangani pandemik COVID-19 akan memperkasa diri, masyarakat dan negara dalam usaha melindungi nyawa sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata selaras dengan prinsip maqasid al-syariah, kerajaan melaksanakan pelbagai ikhtiar demi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia dinasihatkan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan agar bersama dapat memerangi penularan wabak COVID-19.

Walaupun sambutan pada tahun ini dalam suasana yang sederhana, beliau yakin akan ketabahan rakyat Malaysia bersama memerangi penularan pandemik itu.

"Kata kunci di musim perayaan ini adalah 'pematuhan'. Kita mesti melindungi kesihatan diri kita, keluarga tersayang dan kita semua. Patuhi undang-undang, patuhi SOP dan amalkan tertib penjagaan kesihatan yang berkesan," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Aidilfitri esok.

Azmin minta rakyat Malaysia supaya terus bersatu dalam semangat persaudaraan dan berdiri sebahu dengan kekuatan dan keyakinan sebagai umat yang diberkati oleh Allah SWT agar dapat menghadapi cabaran yang mendatang dengan tekun, tekad dan keinginan untuk berjaya.

Hanya melalui kesatuan dan perpaduan serta perkongsian satu matlamat sebagai sebuah negara, kata beliau, Malaysia dapat mendaulatkan kemelut menjadi kemungkinan, dan kegagalan menghasilkan kejayaan.

Katanya, apa yang penting ialah mengimbangi tuntutan antara melindungi nyawa dan keselamatan rakyat dengan tuntutan untuk memelihara ekonomi.

"Bersabarlah menghadapi ujian ini. Kita yakin usaha bersama akan berjaya melandaikan keluk penularan COVID-19 di bumi Malaysia," katanya.

Azmin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan seperti doktor dan jururawat, pakar kesihatan dan pasukan keselamatan.

"Kalian adalah wira negara. Saya menghargai setiap detik pengorbanan saudara, yang cekal dan tabah mengharungi gelombang yang tidak berkesudahan demi keselamatan diri, keluarga tercinta dan rakyat keseluruhannya. Tahniah dan syabas.

"Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dari seluruh lapisan masyarakat. Menjadi doa dan harapan kita agar seluruh rakyat bersatu hati, membulatkan tekad dan membingkai muafakat agar cahaya kejayaan menyinar di Aidilfitri," katanya.

Berita Harian X