Rabu, 12 Mei 2021 | 12:00pm
Gambar hiasan. - Foto fail BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto fail BERNAMA

Tindakan tegas majikan tak patuh Akta 446

bhnews2bh.com.my

KUALA LUMPUR: Majikan perlu serius menyediakan tempat kediaman pekerja yang kondusif dan amalan langkah pencegahan COVID-19 termasuk mengehadkan bercampur di tempat awam yang sesak dan ramai.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja wajar diterapkan supaya risiko penularan dikalangan masyarakat juga dapat dibendung.

"Pihak MTUC bimbang dan memandang serius dengan Laporan Kementerian Kesihatan berkaitan peningkatan kluster baharu COVID-19 di tempat kerja mutakhir ini terutama di sektor perkilangan, pembinaan serta perkhidmatan.

"MTUC berharap dan meminta semua majikan dan pekerja dapat bersama-sama berperanan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan negara kita membendung penularan COVID-19 di tempat kerja dengan sentiasa mengamalkan disiplin diri yang tinggi serta mematuhi SOP ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, MTUC menyokong tindakan memperketat penguatkuasaan serta pemeriksaan yang dilaksanakan secara agresif dan berterusan membabitkan 103,829 penginapan dengan lebih 60 peratus daripada majikan didapati tidak mematuhi dan melakukan kesalahan mengikut Akta 446.

"Tindakan tegas perlu diambil bagi majikan yang didapati tidak mematuhi akta 446 ini. MTUC juga bersedia dan sentiasa bekerjasama dalam membantu pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Projek 'Migrant Resources Center MTUC\ILO' dalam menangani isu pekerja asing terutama pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta 446 ini," katanya.

MTUC juga, katanya, berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan atas usaha kementerian itu bertindak tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan pematuhan SOP COVID19 membabitkan sektor penting melalui penguatkuasaan Akta 446 bagi penginapan, perumahan dan kemudahan pekerja yang diketuai oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Berita Harian X