Selasa, 11 Mei 2021 | 6:34pm

Harga maksimum daging tempatan untuk bahagian biasa

PUTRAJAYA: Penetapan harga maksimum daging lembu tempatan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena musim perayaan minggu ini, hanya membabitkan bahagian biasa lembu berikutan ia menjadi pilihan sebahagian besar pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata bahagian lain seperti tulang, hati, limpa, perut, usus, ekor, daging batang pinang, daging harimau menangis serta bahagian daging yang dibuang urat dan lemak tidak termasuk dalam harga siling Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021.

Justeru, beliau berkata, pengguna perlu bersedia membayar pada harga premium juga jika mereka ingin membeli bahagian lembu yang premium.

"Peniaga bebas menjualnya pada harga munasabah (bahagian premium). Pengguna yang berkeinginan kepada bahagian lembu yang premium seharusnya bersedia untuk membayar pada harga yang premium juga (lebih).

"Justeru, dakwaan segelintir pihak bahawa peniaga mengalami kerugian disebabkan penetapan harga siling ini adalah tidak tepat.

"Peniaga masih boleh membuat keuntungan dalam tempoh pelaksanaan SHMMP HRP 2021, cuma tidak dinafikan, margin keuntungan mungkin tidak seperti hari di luar pelaksanaan SHMMP ini dan seharusnya dapat ditampung oleh permintaan yang tinggi semasa musim perayaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pada hari biasa peniaga boleh menentukan sendiri harga jualan dan margin keuntungan yang dikehendaki, namun jika berlaku jualan harga runcit yang tidak munasabah dan terdapat elemen pencatutan kepada pengguna, peniaga boleh disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Alexander berkata, kementerian akan meneruskan pelaksanaan harga maksimum daging lembu tempatan seperti yang diwartakan dalam SHMMP HRP 2021 yang berkuat kuasa pada 21 April sehingga 20 Mei ini.

Beliau berkata, penetapan harga siling RM34 sekilogram, dibuat secara seimbang hasil daripada kajian menyeluruh di semua peringkat membabitkan pengeluar, pemborong peruncit serta semua pihak bagi memastikan boleh mendapat keuntungan.

"Mekanisme yang digunakan adalah menerusi sesi libat urus secara berterusan antara pemain industri, persatuan pengguna dan agensi Kerajaan yang relevan," katanya.

Alexander berkata, SHMMP HRP 2021 turut melindungi kepentingan kumpulan peniaga demi memastikan elemen mengaut keuntungan berlebihan tidak berlaku.

Katanya, perbuatan mengambil kesempatan menaikkan harga tidak sahaja berlaku antara peniaga dengan pengguna, malah situasi ini juga boleh berlaku sesama peniaga.

Katanya, peniaga daging lembu tempatan juga adalah pengguna bagi barang keperluan lain.

Oleh itu SHMMP HRP 2021 dilaksanakan kerajaan ini adalah bagi menetapkan harga siling di setiap peringkat perniagaan (ladang, borong dan runcit) bertujuan tiada manipulasi harga untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah berlaku di antara peniaga kepada

peniaga.

Pada masa sama, Alexander berkata, pemantauan KPDNHEP bawah SHMMP HRP 2021 mendapati ada peniaga yang menjual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan iaitu antara RM27 hingga RM32 sekilogram berbanding harga maksimum RM34 kg bagi daging lembu tempatan peringkat runcit.

Beliau berkata, ia diakui sendiri oleh ramai bahawa peniaga di Terengganu, Kelantan dan Pulau Pinang seperti yang dilaporkan akhbar hari ini.

"Pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan penguat kuasa KPDNHEP setiap hari di semua kawasan di seluruh negara mendapati secara keseluruhan 99.26 peratus peniaga dari 38,299 premis peruncit dan pemborong mematuhi harga maksimum yang

ditetapkan.

"Sehingga kini, hanya 13 peniaga sudah dikenakan tindakan kerana menjual daging lembu melebihi harga maksimum dengan 12 peniaga dikenakan kompaun manakala seorang lagi peniaga masih dalam siasatan," katanya.

Semalam BH melaporkan harga daging lembu segar di sekitar Johor Bahru dijual pada harga RM45 sekilogram, berbanding harga siling RM34 sekilogram, yang ditetapkan kerajaan.

Berita Harian X