Sabtu, 8 Mei 2021 | 9:55pm
Foto fail
Foto fail

Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan

KUALA TERENGGANU: Penularan COVID-19 di daerah Besut ketika ini sangat membimbangkan dengan kadar insiden adalah 117 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata daripada 16 kes kematian yang direkodkan di Terengganu setakat ini, lapan kes adalah penduduk Besut.

"Mereka yang meninggal dunia ini datang ke hospital dalam keadaan sudah tenat. Masih ada empat pesakit warga Besut sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Setiap hari, berpuluh kes dilaporkan di daerah Besut dan sebanyak 45 kes baharu direkodkan hari ini manakala lapan kluster aktif sedang menular di daerah ini. Kluster paling besar adalah Kluster D'Lahar dan Kuster Tok Has yang melaporkan ratusan kes positif," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di Besut selama 14 hari bermula semalam bagi mencegah penularan COVID-19 yang lebih besar di daerah itu.

Sehubungan itu, Dr Nor Azimi menasihatkan penduduk Besut agar terus mengehadkan pergerakan dan mengelak aktiviti perkumpulan dalam jumlah yang ramai.

"PKP di Besut akan gagal jika hanya larangan rentas negeri atau daerah yang diambil berat sedangkan pada masa sama rakyat masih berhimpun di sana sini.

"Keadaan akan diburukkan lagi sekiranya tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan amalan menjaga kebersihan tangan," katanya.

Terengganu hari ini merekodkan 71 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu sebanyak 4,799 kes. - BERNAMA

Berita Harian X