Sabtu, 8 Mei 2021 | 6:20pm
Kesesakan trafik menuju ke Pantai Timur yang berlaku hari ini berpunca daripada pemeriksaan teliti polis terhadap kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong serta jumlah kenderaan yang tinggi hasil aktiviti merentas negeri. - Ketua Polis Daerah Bentong
Kesesakan trafik menuju ke Pantai Timur yang berlaku hari ini berpunca daripada pemeriksaan teliti polis terhadap kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong serta jumlah kenderaan yang tinggi hasil aktiviti merentas negeri. - Ketua Polis Daerah Bentong

Sekatan jalan raya, trafik tinggi punca laluan ke Pantai Timur sesak

KUALA LUMPUR: Kesesakan trafik menuju ke Pantai Timur yang berlaku hari ini berpunca daripada pemeriksaan teliti polis terhadap kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong serta jumlah kenderaan yang tinggi hasil aktiviti merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kesesakan trafik di laluan ke plaza tol terbabit adalah perkara yang agak biasa susulan pemeriksaan ketat ke atas semua kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di plaza tol itu.

"Kesesakan trafik berlaku secara berkala, bergantung jumlah kenderaan dan hari ini, kita mengesan jumlah kenderaan meningkat hasil daripada aktiviti merentas negeri untuk sektor yang dibenarkan serta orang perseorangan yang diberikan permit merentas negeri.

"Keadaan hari ini juga dipengaruhi dengan aktiviti ibu bapa membawa pulang anak masing-masing yang tinggal di asrama sekolah dan institusi pendidikan terletak di luar kawasan Pantai Timur serta pasangan jarak jauh," katanya ketika dihubungi BH.

Zaiham berkata, pihaknya terpaksa menambah lorong dalam sekatan jalan raya di plaza tol terbabit iaitu tiga lorong untuk kenderaan ringan dan satu lorong untuk kenderaan berat.

"Anggota yang bertugas di sekatan jalan raya diarahkan memeriksa dengan teliti segala permit merentas negeri serta dokumen bagi mengelak berlaku penipuan dan cubaan merentas negeri secara haram.

"Perkara ini menyumbang kepada berlaku kesesakan trafik di laluan ini dan kita minta pengguna jalan raya dapat memberi kerjasama dan bersabar," katanya.

Dalam pada itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui satu ciapan di Twitter melaporkan berlaku kesesakan sepanjang kira-kira 500 meter sebelum masuk ke Plaza Tol Bentong, tengah hari tadi.

Kesesakan yang dikesan berlaku sejak awal pagi itu tadi susulan peningkatan jumlah kenderaan dan sekatan jalan raya yang dilakukan polis di plaza tol terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias ketika dihubungi BH, berkata kesesakan yang berlaku di mana-mana lebuh raya dan jalan raya kini berpunca daripada sekatan jalan raya dilaksanakan kontinjen polis negeri dan daerah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemeriksaan teliti yang dijalankan oleh petugas di sekatan jalan raya terbabit menyumbang kepada berlakunya kesesakan.

"Justeru, kita minta orang ramai supaya terus duduk di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar. Jika terperangkap dalam kesesakan, jangan merungut kerana kita sendiri yang menyumbang kepada keadaan itu. Namun yang menjadi mangsa adalah kenderaan perkhidmatan penting (essential service), sektor ekonomi serta mereka yang ada urusan penting dan mendapat kebenaran polis," katanya.

Berita Harian X