Jumaat, 7 Mei 2021 | 7:54pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Kluster babitkan restoran di KL, Kelantan

PUTRAJAYA: Dua kluster tempat kerja yang dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini didapati membabitkan restoran di Kuala Lumpur dan Kelantan.

Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Jalan Manjalara Idaman di Kepong, Kuala Lumpur itu dikesan hari ini hasil saringan bersasar pekerja sebuah restoran yang terletak di Jalan Manjalara Idaman, Bandar Manjalara, Kepong.

Beliau berkata, setakat hari ini, sejumlah 20 individu sudah disaring, dengan lapan kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster itu.

Kes indeks dalam Kluster Jalan Besar Pasir Mas di daerah Pasir Mas, Kelantan dilaporkan positif COVID-19 pada 2 Mei lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kes indeks bagi kluster ini seorang lelaki rakyat tempatan berusia 22 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 2 Mei lalu hasil saringan individu bergejala. Kes mula bergejala pada 30 April lalu.

"Kluster ini membabitkan pekerja sebuah restoran yang terletak di Jalan Besar, Pasir Mas dan sehingga hari ini sejumlah 29 kes dikesan selepas saringan dijalankan terhadap 75 individu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kedua-dua kluster berkenaan adalah antara 19 kluster baharu yang dikesan hari ini.

Sebanyak 17 kluster lain adalah Kluster Persiaran Perpaduan USJ, Kluster Jalan Nouvelle, Kluster Jalan Udang Harimau, Kluster Blok D, Kluster Jalan Kempas Pagoh, Kluster Ladang LSP, Kluster Jalan Perusahaan Empat, Kluster Jalan PKAK Ayer Keroh, Kluster Pulau Ketam, Kluster Penurin, KlusterKampung Kochang, Kluster Dah Lengkuas, Kluster Jalan Limbang, Kluster Beladin, Kluster Dah Utama, Kluster Jalan Pahlawan Empat danKluster Jalan Midah Besar.

"KKM juga ingin memaklumkan terdapat 19 kluster baharu yang dikenal pasti hari ini membabitkan 10 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster keagamaan, dan dua kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Setakat hari ini, sejumlah 1,759 kluster direkodkan, 1,334 kluster sudah tamat termasuk 12 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Batu Lima Jalan Sibuga, Kluster Permatang Pasir, Kluster Kait Gading, Kluster Jalan Sungai Ramal, Kluster Rimbayan, Kluster Batu Enam Setengah, Kluster Ladang Sungai Pelek, Kluster Persiaran Maktab, Kluster Tembok Muhasabah, Kluster Gelong, Kluster Bukit Rahman, dan Kluster Jalan Asam) dengan 425 kluster yang aktif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah sebanyak 102 kluster; dan kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Kempas Pagoh (70 kes), Kluster Jalan Besar Sungai Jawi (47 kes), dan Kluster Beladin (45 kes).

Berita Harian X