Jumaat, 7 Mei 2021 | 5:42pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

PdPR perlu dikaji semula - NUTP

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas cuti Aidilfitri adalah satu-satunya pilihan terbaik yang ada dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, PdPR itu bukan hanya tertumpu secara atas talian saja tetapi ia mempunyai pelbagai bentuk saluran pengajaran yang diusahakan oleh guru.

Katanya, PdPR secara atas talian atau bersemuka hanya berlaku dalam tempoh tertentu saja dan bukannya sepenuh masa seperti ketika tempoh persekolahan.

"Memandangkan PdPR sudah diumumkan awal oleh Kementerian Pendidikan (KPM), kebanyakan guru mempunyai masa menyediakan pelbagai modul pendidikan untuk diberikan kepada murid.

"Antaranya melakukan rakaman video untuk bahan pembelajaran dan murid tidak perlu untuk membalasnya dengan segera, bergantung kepada keadaan semasa murid berkenaan.

"Selain itu, selama tempoh 10 hari PdPR selepas cuti Aidilfitri, guru-guru juga bersedia dengan tugasan untuk diberikan kepada murid," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau turut berpendapat, pemilikan peranti untuk murid sekolah juga semakin bertambah baik dengan adanya bantuan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat lain.

"Bahkan julung kalinya, NUTP sendiri menjalinkan kerjasama dengan YTL Foundation pada April lalu untuk membantu memberi peranti bersama data internet percuma kepada 2.7 juta murid berkeperluan dengan konsep siapa cepat dia dapat.

"Jadi perkembangan ini semakin baik dan saya rasa masalah tiada peranti ini akan berkurangan," katanya.

Sementara itu, Prof Sosiologi Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Abdul Razak Ahmad berpendapat, sepanjang PdPR dilaksanakan, ia dilihat seolah tidak mempunyai panduan jelas mengenai bentuk pembelajaran.

Justeru, katanya, perlu ada satu bentuk modul yang boleh dibangunkan oleh pakar untuk memastikan pembelajaran murid berkesan.

"Banyak faktor boleh menjadikan PdPR ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik berdasarkan persekitaran murid, keadaan semasa dan kekangan internet.

"Jadi saya berpendapat perlu ada buku kerja berasaskan buku teks disediakan untuk murid melakukan kerja sekolah di rumah tanpa perlu datang ke sekolah.

"Selain itu, murid juga boleh melakukan penggiliran ke sekolah, di mana apabila selesai melakukan tugasan di buku kerja yang diberi itu, guru hanya perlu menyemak dan berbincang ketika murid datang ke sekolah.

"Ini bermaksud murid mempunyai waktu fleksibel untuk ke sekolah dan dalam masa yang sama penularan COVID-19 dapat dikawal," katanya.

Apabila modul sistem pendidikan seperti ini diwujudkan, katanya, ia boleh menjadikan sistem pendidikan negara ini lebih maju, futuristik dan bukannya hanya tertakluk ketika menangani tempoh pandemik ini saja.

Beliau berkata, ia memandangkan tindakan yang dibuat ketika ini, dilihat seperti berbentuk sementara dengan anggapan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi.

"PdPR tidak boleh dipukul rata kepada semua murid kerana semua orang mempunyai kekangan, jadi perlu ada penyelesaian komprehensif.

"Bagi saya, KPM perlu juga melihat kepada dua faktor iaitu murid yang ada dan tiada kemudahan internet. Bagi yang tiada internet, buku kerja berasaskan buku teks itu adalah cara yang boleh dilakukan, tetapi modul untuk pembelajaran secara atas talian juga perlu difikirkan supaya murid tidak bosan dengan cara yang sama saja.

"Guru kena lebih kreatif, bukan hanya melaksanakan seperti mengajar di sekolah. Apabila pandemik ini berlaku, guru juga seolah perlu dilatih semula untuk proses pengajaran," katanya.

Berita Harian X