Jumaat, 7 Mei 2021 | 3:38pm
BSN mulakan pembayaran BPR hari ini melalui akaun hingga 12 Mei, tunai di kaunter pada 17 Mei. - Foto hiasan NSTP
BSN mulakan pembayaran BPR hari ini melalui akaun hingga 12 Mei, tunai di kaunter pada 17 Mei. - Foto hiasan NSTP

BSN kreditkan bayaran BPR hari ini

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) memulakan pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 fasa dua bermula hari ini hingga 12 Mei melalui pengkreditan akaun.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy, berkata bagi pembayaran tunai di cawangan bank itu pula akan dilaksanakan mulai 17 Mei. Penerima dinasihati untuk merancang waktu kunjungan ke cawangan BSN terlebih dahulu dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"BSN juga membuat persediaan awal dengan kerjasama daripada RELA serta Polis Bantuan BSN bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Jay Khairil berkata, pembayaran BPR 2021 fasa dua melalui pengkreditan akaun akan dilakukan berdasarkan maklumat penerima yang dikemukakan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) kepada BSN. Bagi pembayaran secara tunai pula, penerima perlu membawa kad pengenalan ketika hadir ke cawangan BSN.

"Hanya wakil yang didaftarkan sahaja dibenarkan untuk mewakilkan penerima bagi penerimaan bayaran BPR2021. Penerima BPR dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu melalui laman sesawang LHDNM - http://bpr.hasil.gov.my atau hubungi LHDNM Hotline BPR melalui talian 1-800-88-2747 sebelum hadir di mana-mana Cawangan BSN.

"Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang BSN www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1-300-88-1900," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.75 bilion untuk pembayaran BPR bagi membantu kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian.

Fasa 2 BPR akan memberi manfaat kepada 3.6 juta isi rumah, satu juta warga emas dan 3.8 juta individu bujang.

Berita Harian X