Khamis, 6 Mei 2021 | 7:01pm

PDRM terima 6 laporan berhubung kenyataan bekas KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima enam laporan berhubung kenyataan dibuat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengenai gangguan politik dalam pasukan polis.

Selain itu, laporan dibuat juga turut merujuk kepada dakwaan percubaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang menggunakan Cawangan Khas (PDRM) bagi kepentingan politiknya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata siasatan mengenai perkara itu pada masa ini sudah dimulakan Polis Daerah Dang Wangi, yang menerima satu daripada laporan berkenaan.

"Setakat ini, PDRM sudah menerima enam laporan dari seluruh negara dan sedang mengumpulkan semua individu dikaitkan dalam kes berkenaan.

"Untuk peringkat awal ini, polis akan merakam pernyataan semua individu dan mengumpulkan segala keterangan dan petunjuk yang ada sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Acryl Sani berharap, orang ramai dapat memberikan polis masa bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan itu sebelum sesuatu tindakan diputuskan Pejabat Peguam Negara.

Pada 30 April lalu, Abdul Hamid yang ketika itu masih menjawat jawatan Ketua Polis Negara, menyatakan Hamzah sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) cuba mempengaruhi pengurusan PDRM dalam proses pertukaran pegawai kanan.

Selain itu, Hamzah juga dilaporkan turut menggunakan Jabatan Cawangan Khas PDRM untuk kepentingan politiknya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.- NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.- NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X