Rabu, 5 Mei 2021 | 10:55pm
 Ismail Sabri (berdiri dua dari kiri) bersama Affendi (kiri) beramah mesra bersama pelajar sekolah tahfiz dan anak yatim ATM pada majlis berbuka puasa, di Kem Perdana Sungai Besi, malam tadi. - NSTP/ HAZREEN MOHAMAD
Ismail Sabri (berdiri dua dari kiri) bersama Affendi (kiri) beramah mesra bersama pelajar sekolah tahfiz dan anak yatim ATM pada majlis berbuka puasa, di Kem Perdana Sungai Besi, malam tadi. - NSTP/ HAZREEN MOHAMAD

Tidak mustahil kes COVID-19 cecah 10,000 lepas raya

KUALA LUMPUR: Bilangan kes COVID-19 boleh meruncing sehingga mencecah 10,000 kes sehari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilaksanakan dengan segera.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu dimaklumkan dalam pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang menganggarkan kes positif harian COVID-19 boleh meningkat sehingga 5,000 dan terus melonjak kepada 10,000 kes seperti berlaku di India.

"Saya dimaklumkan melalui pembentangan KKM, tidak mustahil lepas raya kes boleh meningkat 5,000. Situasi ini boleh berlaku jika tidak ada intervensi dan prosedur operasi standard (SOP) tidak diikuti lagi oleh rakyat.

"Jika sampai 10,000 kes sehari, kita mungkin jadi seperti India. Kita tidak mahu melihat rakyat mati bergelimpangan dan sebagainya," katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang.

Ismail Sabri berkata, unjuran kes harian itu berdasarkan pemerhatian yang dilakukan terhadap kemampuan hospital di seluruh negara ketika ini.

"Hospital makin penuh, unit rawatan rapi (ICU) juga sudah hampir habis digunakan. Di Kelantan terpaksa buka hospital sementara kerana tidak cukup katil.

"Hospital swasta yang ada kerjasama dengan kerajaan juga sudah hampir habis katilnya," katanya.

Beliau berkata, walaupun sedar kemarahan rakyat apabila PKP terpaksa dikuatkuasakan semula antaranya di enam daerah di Selangor mulai esok, dan di Kuala Lumpur berkuat kuasa Sabtu ini, ia adalah tindakan intervensi terbaik bagi melindungi nyawa.

"Kita (kerajaan) tidak mahu dianggap tidak bertanggungjawab jika perkara buruk berlaku kepada rakyat.

"Kita lakukan ini atas kesedaran dan kerana sayangkan rakyat, sebab itu kita jaga sebaik mungkin rakyat," katanya ketika mengulas tindakan kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menyentuh pengumuman penutupan bazar Ramadan di enam daerah di Selangor oleh kerajaan negeri berikutan pelaksanaan PKP, Ismail Sabri berkata, pada peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN), pembukaan bazar dibenarkan dengan SOP ketat.

"Kita (MKN) benarkan tetapi pada masa sama memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk tentukan sama ada diteruskan atau ditutup.

"Kerajaan Selangor memutuskan untuk tutup, kita tidak ada apa-apa halangan berhubung keputusan itu," katanya.

Beliau berkata, MKN menetapkan tidak akan menutup semua premis perniagaan termasuk pasar raya, bazar Ramadan mahu pun bazar Aidilfitri dalam satu masa, sebaliknya tindakan akan diambil jika terdapat lokasi dikesan berlaku penularan kes positif COVID-19.

"Penutupan juga dilakukan hanya bagi tempoh dua hingga tiga hari bagi membolehkan pengesanan kontak rapat dan proses sanitasi dilaksanakan," katanya.

Mengulas rasional kerajaan tidak membenarkan aktiviti makan di restoran di kawasan PKP, Ismail Sabri berkata, ia dibuat atas nasihat KKM memandangkan sukar untuk mengawal penularan COVID-19 kerana ada pelanggan tidak menjaga penjarakan fizikal dan lazimnya pelitup muka dibuka ketika berada dalam restoran.

"Jika kita (misalnya) pergi ke pasar raya, walaupun ada yang tidak menjaga penjarakan fizikal, tetapi kita masih ada satu lagi perlindungan kerana memakai pelitup muka.

"Kadang kala di restoran, sesetengahnya tiada penjarakan, kemudian tidak memakai pelitup muka.

"Ia dikira transmisi secara langsung di antara satu sama lain, sebab itu bila ada pihak meminta supaya dibenarkan makan di restoran, ia sukar dipertimbangkan oleh KKM," katanya.

Berita Harian X