Selasa, 4 Mei 2021 | 6:55pm

Lokasi berisiko COVID-19 meningkat dikesan HIDE

KUALA LUMPUR : Sebanyak 1,660 lokasi berisiko kepada penularan COVID-19 dikenal pasti menerusi sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) setakat ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu terus meningkat berbanding 1,170 'hotspot' yang direkod HIDE pada minggu lalu.

"Ini adalah tindakan intervensi awal oleh kerajaan termasuklah melalui notis dikeluarkan HIDE seperti keperluan untuk melaksana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang lebih ketat.

"Langkah kerajaan ini untuk memastikan intervensi yang kita laksanakan lebih bersasar," katanya pada sidang media berkenaan pelaksanaan sistem HIDE di Putrajaya, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata, lokasi 'hotspot' yang sudah dikenal pasti itu termasuk kawasan pusat beli belah, pasar raya, bazar serta premis pejabat.

Beliau berkata, keperluan untuk menutup premis yang disenarai dalam HIDE bergantung kepada penilaian risiko yang akan dilaksana oleh pasukan khas Kementerian Kesihatan (KKM).

"KKM akan hantar pasukan untuk buat penilaian risiko di premis itu bagi melihat sejauh mana sistem amaran ini memberi amaran yang agak cemas mengenai premis.

"Jika boleh dikawal, langkah untuk intervensi adalah seperti kawalan kemasukan ke premis yang lebih ketat dan sebagainya, tak semestinya ia akan ditutup.

"Kalau kita dapati keadaan luar kawalan, maka opsyen untuk menutup premis ada. Kita tidak menunggu ada penambahan kes. Kita buat ramalan kes yang turut mengambil kira keluasan kawasannya dan bertindak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi data terkumpul, sejumlah 90 penyebaran COVID-19 berlaku di 0.2 peratus premis yang berdaftar menerusi MySejahtera.

"Bagi membolehkan analisis HIDE yang lebih tepat, premis yang masih belum berdaftar menerusi MySejahtera hendaklah berbuat demikan pada kadar segera selaras dengan arahan yang sudah dikeluarkan sebelum ini yang mewajibkan imbasan kod QR bagi setiap pengunjung premis," katanya turut menyarankan bangunan kediaman dan bilik mesyuarat juga melaksana imbasan berkenaan.

Khairy juga berkata, sejak Mac lalu, MySejahtera sudah menghantar pemberitahuan kepada lebih 800,000 kontak kasual untuk mengambil tindakan sama ada perlu membuat kawalan kendiri atau melakukan ujian saringan.

"Kontak kasual hanya perlu buat saringan jika ada gejala. Jika tidak, kena buat kawalan kendiri," katanya.

Berita Harian X