Selasa, 4 Mei 2021 | 3:31pm
virus covid
virus covid

Semua hospital di Johor dijadikan hybrid

JOHOR BAHRU: Semua 12 hospital kerajaan di negeri ini diaktifkan sebagai hospital Hibrid COVID-19, bagi menampung peningkatan mendadak kes wabak berkenaan di Johor.

EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata semua 12 hospital berkenaan beroperasi sebagai hospital Hibrid COVID-19 sejak bulan lalu, dengan memberi perawatan pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19.

Katanya, ia dilakukan berikutan pembukaan lebih banyak bilangan katil ICU COVID-19 ketika ini.

"Ia berikutan jumlah sumber manusia yang terhad dan juga pada masa yang sama bilangan pesakit kritikal bukan COVID yang tinggi yang juga memerlukan rawatan rapi di ICU pada masa ini.

"Seramai 49 orang pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di enam hospital Hybrid COVID-19 negeri ini ketika ini.

"Peratus kapasiti penggunaan katil ICU khusus COVID-19 ketika ini meningkat sebanyak 114 peratus berbanding sejumlah 43 katil ICU yang dikhususkan untuk COVID-19, sehingga semalam.

"Sejumlah 39 daripada 49 pesakit COVID-19 yang dirawat di ICU itu memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, Johor menyaksikan peningkatan kes COVID-19 yang membabitkan kalangan warga sekolah, membabitkan guru dan pelajar.

Katanya, kebanyakan kes dikesan akibat penularan di dalam rumah berikutan aktiviti sosial keluarga, dalam kumpulan besar tanpa mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

"Masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial keluarga dalam kumpulan besar seperti berkumpul di pusat hiburan, kenduri kahwin dan aktiviti riadah tanpa mematuhi SOP termasuk tidak memakai pelitup muka.

"Beban yang ditanggung oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) untuk menguruskan bilangan kes jangkitan yang meningkat kebelakangan ini amat mencabar berikutan kekurangan tenaga kerja dan fasiliti yang terhad.

Berita Harian X