Isnin, 3 Mei 2021 | 11:58pm
Kerajaan bersetuju dengan syor mewujudkan pasukan petugas diketuai PBT untuk melakukan operasi bersepadu menutup kilang haram. FOTO NSTP (Hiasan)
Kerajaan bersetuju dengan syor mewujudkan pasukan petugas diketuai PBT untuk melakukan operasi bersepadu menutup kilang haram. FOTO NSTP (Hiasan)

Syor operasi bersepadu tutup kilang haram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri Alam Sekitar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) hari ini bersetuju dengan cadangan mewujudkan operasi bersepadu untuk menutup kilang haram melalui kerjasama kerajaan negeri.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata mengikut cadangan itu, mesyuarat secara dalam talian dipengerusikan beliau turut bersetuju langkah mengaktifkan pasukan petugas diketuai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain berkaitan.

"Pasukan petugas ini akan menjalankan operasi bersepadu sekurang-kurangnya dua kali setahun. Usaha menutup kilang haram amat penting untuk mencegah pencemaran terutama pencemaran sungai dan pembakaran terbuka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata cadangan itu adalah antara lima kertas pertimbangan yang dipersetujui dalam mesyuarat MEXCOE hari ini.

Empat lagi cadangan dipersetujui ialah penyerahan aset infrastruktur tanah gambut kepada kerajaan negeri di bawah Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut bagi mengatasi isu jerebu di negara ini dan pelaksanaan perolehan hijau kerajaan serta inisiatif hijau di peringkat negeri dan PBT.

Cadangan lain termasuk pemerkasaan bandar rendah karbon dan tindakan perubahan iklim di seluruh negara serta pembangunan dasar dan garis panduan berkaitan mekanisme pasaran karbon negara.

Tuan Ibrahim berkata, dalam mesyuarat itu juga, beliau menekankan kepentingan komitmen serta kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha memantapkan tadbir urus alam sekitar negara demi menjana kekayaan baharu serta meningkatkan kesejahteraan rakyat ke arah pembangunan lestari. - BERNAMA

Berita Harian X