Isnin, 3 Mei 2021 | 1:14pm
Daging lembu dan kerbau antara barang disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 - Foto MUHD ASYRAF SAWAL
Daging lembu dan kerbau antara barang disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 - Foto MUHD ASYRAF SAWAL

KPDNHEP periksa lebih 23,000 premis runcit, kompaun RM24,700

KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa 23,293 premis peruncit dan 425 premis pemborong di seluruh negara sejak penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 bermula 21 April lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata dalam gerakan pemeriksaan sehingga semalam itu, bayaran kompaun bernilai keseluruhan RM24,700 turut dikutip daripada pemborong dan peruncit yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

"Antara kesalahan dikesan adalah gagal menggunakan tanda harga khas, tiada tanda harga dan menjual barangan melebihi harga maksimum.

"Selain kompaun, KPDNHEP juga melakukan sitaan atas kegagalan mematuhi SHMMP yang bernilai RM17,909.01," katanya kepada media pada program iftar Ramadan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan Kuala Berang di kediamannya di Ajil, semalam.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, seramai tujuh pemborong dikesan melakukan kesalahan menjual barangan melebihi harga maksimum dan dua kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas.

Selain itu, katanya. seramai 40 peruncit dikesan melakukan kesalahan menjual harga barangan melebihi harga maksimum dan 42 lagi dikenakan tindakan atas kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas.

SHMMP 2021 berkuat kuasa 21 April lalu hingga 20 Mei depan, iaitu selama 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan. Ia dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kategori barangan harga terkawal dalam skim berkenaan terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut, berjumlah keseluruhan 12 jenis barangan.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, boleh dikenakan hukuman denda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Berita Harian X