Sabtu, 1 Mei 2021 | 11:15am
 Foto fail NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Foto fail NSTP/Mohd Yusni Ariffin

20 lagi barang keperluan dikawal harga mulai 6 Mei

PUTRAJAYA: Sebanyak 20 lagi barang keperluan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021 fasa kedua, menjadikan keseluruhan 32 barangan harga terkawal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexandra Nanta Linggi, berkata SHMMP HRP 2021 fasa kedua berkuat kuasa selama 15 hari, bermula Khamis ini sehingga 20 Mei.

Beliau berkata, pelaksanaan SHMMP HRP 2021 bertujuan mengekang kenaikan harga bagi barang keperluan sebelum dan selepas 1 Syawal.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenal pasti kategori barangan harga terkawal untuk fasa kedua merangkumi sayuran, barang kering dan hasil laut.

"Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMMP HRP 2021 adalah sebanyak 32 jenis barangan," katanya melalui kenyataan hari ini.

Barangan di bawah SHMMP HRP 2021 fasa kedua terdiri daripada tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), kacang panjang, sawi hijau, terung panjang, timun, halia tua, kelapa biji (borong sahaja), kelapa parut (runcit sahaja), bawang merah besar import (China) dan bawang besar (Holland).

Turut tersenarai, bawang putih (China), cili kering, ubi kentang import (China), kacang tanah, ikan segar beku kembung (berat antara lapan hingga 10 ekor sekilogram), ikan segar beku selar (berat antara lapan hingga 10 ekor sekilogram), ikan segar beku selayang (berat antara 12 hingga 14 ekor sekilogram) dan ikan demuduk atau sagai atau cermin atau cupak (berat antara tiga ekor hingga lima ekor setiap kilogram) (Sabah sahaja).

Pada 19 April lalu KPDNHEP mengumumkan 12 jenis barangan bawah skim itu yang bermula pada 21 April lalu membabitkan empat kategori barangan iaitu ayam, telur ayam, daging serta hasil laut.

Alexander berkata, pelaksanaan SHMMP HRP 2021 secara berfasa itu dibuat berdasarkan data dan bukti harga barangan di pasaran serta maklum balas pengguna.

Katanya, SHMMP bertujuan untuk menstabilkan harga barang yang kritikal yang menjadi menu utama bagi sesuatu perayaan bagi membolehkan seramai mungkin rakyat merayakan setiap perayaan dalam suasana tenang, ceria dan harmonis.

"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Berita Harian X