Khamis, 29 April 2021 | 5:07pm
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Jubli Perak, Kota Bharu. - Foto fail BERNAMA
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Jubli Perak, Kota Bharu. - Foto fail BERNAMA

Kemudahan kesihatan kerajaan belum terdesak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memberi jaminan fasiliti yang ada masih mampu menampung jumlah pesakit COVID-19 biarpun berlaku peningkatan mendadak kes harian terutama di Lembah Klang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kerajaan belum sampai peringkat terdesak dari segi tambahan penyediaan kemudahan biarpun hospital swasta kini memaklumkan kekurangan katil bagi pesakit COVID-19.

Namun peningkatan kes harian yang mendadak jika tidak ditangani sebaiknya boleh memberi kesan kepada fasiliti perubatan.

"Hospital swasta tawarkan 1,200 katil di seluruh negara, dan kita akui jumlah penggunaan menokok (naik) terutama di Lembah Klang. Namun, fasiliti kementerian masih mampu tampung peningkatan jumlah pesakit, kita belum sampai peringkat terdesak. Contohnya Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) masih ada ruang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa hospital swasta kini kekurangan katil bagi pesakit COVID-19 susulan peningkatan penularan jangkitan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto fail NSTP
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto fail NSTP

Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC). - Foto hiasan NSTP
Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC). - Foto hiasan NSTP

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Dr Kuljit Singh, berkata orang ramai perlu mengambil serius perkara itu dan membantu mengurangkan penularan wabak bagi mengelakkan penutupan hospital.

PKRC MAEPS 2.0 yang diaktifkan kembali akhir Disember tahun lalu mampu menampung lebih 9,000 pesakit termasuk mereka dalam kategori 3 dan 4. Selain itu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur juga masih mampu menempatkan kes pesakit COVID-19 bagi kategori 3, 4 dan 5 iaitu mereka yang bergejala dan kritikal.

"Kita juga laksanakan strategi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di setiap Pusat Kesihatan Daerah (PKD) di Selangor dan Kuala Lumpur bagi membenarkan pesakit kategori 1 (tidak bergejala) dan 2 (bergejala ringan) untuk dikuarantin atau dirawat di rumah," katanya.

Dalam pada itu mengulas peningkatan melebihi 3,000 kes, beliau berkata masyarakat perlu mengambil iktibar situasi COVID-19 di India supaya tidak leka dan terus patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kelekaan dan ketidakpatuhan masyarakat di sana, membuatkan mereka berdepan dengan situasi yang sangat getir, kes harian naik mendadak sehinggakan kapasiti atau beban di hospital dan pusat rawatan sudah sampai tahap tepu selain kekurangan bekalan oksigen di sesetengah tempat di negara itu.

"Semua pihak ambil iktibar jangan sampai situasi sama berlaku di negara ini, tidak boleh terus leka. Masyarakat juga diminta teliti trend jangkitan di negara ini, punca muncul wabak dan kurangkan pergerakan keluar kerana penting untuk kita menjaga diri," katanya.

Berita Harian X