Rabu, 28 April 2021 | 3:04pm
Najib (dua dari kiri) tiba di perkarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Najib (dua dari kiri) tiba di perkarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Najib bukan 'orang dalam' SRC untuk salah guna dana - Peguam

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Razak bukan seorang pengarah atau pengarah bayangan di SRC International Sdn Bhd untuk didapati bersalah menyalahgunakan RM42 juta dana syarikat.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes berkenaan mengguna pakai konsep pengarah bayangan undang-undang sivil dan 'common law' dari England untuk menyabitkan Najib bersalah terhadap tuduhan itu.

"Seksyen 402A Kanun Keseksaan bagi definisi pengarah adalah 'suatu yang sama dengan pengarah bayangan' tetapi tidak sama seperti di England.

"Najib bukan orang dalam syarikat seperti disyaratkan mengikut Kanun Keseksaan untuk melakukan pecah amanah jenayah (CBT). Najib adalah orang luar. Pihak pendakwaan juga tidak membuktikan unsur tuduhan CBT untuk dipanggil membela diri," katanya.

Muhammad Shafee berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil pada prosiding rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menyalahgunakan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Dua lagi hakim ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Muhammad Shafee berkata, hakim yang mendengar kes berkenaan terkhilaf dari segi undang-undang dengan mengimport common law dari England untuk membabitkan Ahli Parlimen Pekan itu dengan kesalahan berkenaan.

"Perlu dibuktikan perayu (Najib) mempunyai kawalan dan diberi kepercayaan dengan RM42 juta untuk didapati bersalah.

"Perayu berhujah hakim perbicaraan melakukan kesalahan besar dengan bergantung kepada common law dan tersalah dalam bahasa Seksyen 402A Kanun Keseksaan melangkaui makna biasa daripada peruntukan itu," katanya sambil menambah tindakan itu menimbulkan prasangka serius dan ketidakadilan terhadap Najib.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Berita Harian X