Selasa, 27 April 2021 | 5:32pm
 Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba

'Buat permohonan jika mahu dapatkan vaksin awal'

PUTRAJAYA: Mana-mana pihak yang mahu menjadi golongan lebih awal untuk menerima vaksin COVID-19 termasuk pengamal media boleh mengemukakan permohonan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini belum menerima sebarang senarai maklumat daripada pihak media dan jika ada permohonan, KKM akan mengemukakannya kepada CITF untuk tindakan lanjut.

"Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah disusun secara sistematik mengikut fasa yang ditetapkan, manakala permohonan untuk menerima vaksin awal akan dilakukan berdasarkan metrik dan kaedah tertentu oleh CITF," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia yang meminta penjelasan kerajaan dalam isu pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada pengamal media berikutan laporan yang mendakwa kakitangan sebuah organisasi media sudah menerima vaksin.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin COVID-19, tertakluk kepada bekalan vaksin mencukupi. – BERNAMA

Berita Harian X