Selasa, 27 April 2021 | 1:57pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. - Foto NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. - Foto NSTP

JAKIM cadang teruskan penganjuran tilawah al-Quran

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bercadang meneruskan penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 1442H/2021M sebagai usaha membudayakan kesenian dan kefahaman al-Quran di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata prosedur operasi standard (SOP) acara berprestij tahunan itu sudah dibentangkan dan diteliti di peringkat jabatan terbabit bagi mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan ini akan diteruskan sekiranya tiada halangan.

"Terdapat beberapa penambahbaikan dan pembaharuan yang akan diperkenalkan bagi memberi nafas baharu dan mendekatkan al-Quran kepada pelbagai lapisan dan latar belakang masyarakat," katanya dalam hantaran yang dikongsi di akaun Facebooknya selepas menghadiri sesi taklimat dan pembentangan SOP di pejabat JAKIM di sini, hari ini.

Kali terakhir Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan diadakan pada Februari tahun lalu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, Sabah.

Ketika itu, qari cacat penglihatan dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan qariah dari Perak, Puteri Kalimatul Azzua Hamid masing-masing dinobatkan sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M.

Berita Harian X