Ahad, 25 April 2021 | 8:53pm

24 peratus benih padi diagihkan di kawasan MADA

ALOR SETAR: Sebanyak 24 peratus daripada 426,118 beg Benih Padi Sah (BPS) yang dipesan sudah diterima 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk diagihkan kepada petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sehingga Khamis lalu.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata jumlah keseluruhan keperluan BPS di Kawasan Muda bagi musim satu 2021 adalah sebanyak 675,906 beg membabitkan kawasan tanaman padi seluas 96,558 hektar.

Katanya, baki pesanan akan dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) secara berperingkat.

"Sejak Februari lalu, pihak MADA telah mengadakan perbincangan berkala bersama NAFAS dan PPK MADA bagi membantu melancarkan proses pengedaran benih padi mengikut keperluan dan tempoh masa yang sesuai.

"Justeru MADA berharap NAFAS dapat mempercepatkan pengedaran benih padi sah

di Kawasan Muda supaya peladang dapat memulakan aktiviti penanaman padi musim satu 2021 dengan lancar dan mengikut jadual seperti yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi, berkata MADA ketika ini sedang mengadakan kempen penggunaan BPS sebagai langkah untuk menguar-uarkan kepentingan penggunaan benih padi yang berkualiti.

Katanya, pegawai MADA di lapangan akan mengadakan kempen secara berterusan termasuk pengesyoran penggunaan varieti padi tempatan selain varieti MR297 yang turut mampu memberikan prestasi dan hasil yang baik.

"Adalah disarankan supaya para peladang dapat mengamalkan amalan pertanian baik dan

merujuk kepada senarai semak "Rice Check" yang dikeluarkan oleh MADA, Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi memastikan setiap varieti padi dapat dioptimumkan potensinya.

"Peladang juga dinasihatkan untuk tidak menggunakan sebarang benih padi yang tidak sah walaupun ditawarkan dengan harga yang murah.

"Ia bagi mengelak peladang berdepan dengan risiko kerugian akibat serangan penyakit dan padi angin," katanya.

Berita Harian X