Ahad, 25 April 2021 | 6:05pm
Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

Kampung Dambai Inanam kena PKPD

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah selepas berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19 di lokaliti itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan 74 ujian saringan dan enam kes positif COVID-19 direkodkan dalam tempoh seminggu.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah bermula esok hingga 9 Mei ini.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terbabit dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya PKPD di lima lokaliti di Mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat pada Selasa ini akan dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 4 Mei ini.

PKPD yang dilanjutkan membabitkan Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak.

Setakat ini, sebanyak 107 kes positif COVID-19 direkodkan membabitkan semua lokaliti berkenaan hasil 2,077 ujian saringan yang dilaksanakan oleh KKM.

KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dengan 22 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat serta terdapat 160 sampel yang sedang menunggu keputusan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan PKPD di Penjara Tapah, Perak dan Kampung Meruntum, Putatan, Sabah akan ditamatkan mengikut tarikh dijadualkan, esok.

Sebanyak 3,572 ujian saringan dijalankan KKM di Penjara Tapah dan daripada jumlah itu, 921 kes positif COVID-19 direkodkan. Hingga hari ini, KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dengan kluster terkawal serta tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan.

"Untuk Kampung Meruntum pula, KKM sudah melakukan 127 ujian saringan dan 22 daripadanya positif COVID-19. KKM juga memaklumkan berlaku penurunan kes manakala semua kes positif serta kontak rapat juga telah diasingkan," katanya.

Berita Harian X