Khamis, 22 April 2021 | 6:56pm
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Norlin Jaafar
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Norlin Jaafar

Fasiliti kesihatan digesa urus sisa klinikal dengan sempurna

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengingatkan semua fasiliti kesihatan supaya menguruskan sisa klinikal dengan sempurna bagi mencegah potensi kebolehjangkitan dan membahayakan kesihatan awam serta persekitaran.

Ketua Pengarahnya, Norlin Jaafar, berkata pihaknya menemui beberapa lokasi penstoran haram sisa klinikal di beberapa lokasi termasuk di Selangor dan Perak.

"Susulan aduan pembakaran terbuka oleh Balai Bomba Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Pasir Puteh, Ipoh, Perak yang diterima oleh JAS Negeri Perak pada 28 Mac 2021, satu lokasi pelupusan haram sisa klinikal (SW404) telah ditemui.

"Beberapa lokasi penstoran haram sisa klinikal turut dikesan di lokasi lain dan terkini adalah di Taman Seri Melati, Selayang, Selangor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norlin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan tindakan penguatkuasaan akan terus diperhebatkan terhadap semua fasiliti kesihatan terutama hospital, klinik, pusat haemodialisis, pusat jagaan kesihatan, syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital, syarikat konsesi perkhidmatan sokongan klinikal dan lain-lain pihak yang terbabit.

"Kesalahan menempatkan sisa klinikal yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW404 ini di premis yang tidak dilesenkan oleh JAS, tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

"Ia selaras dengan peruntukan Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Justeru, katanya, JAS mengingatkan semua fasiliti kesihatan khususnya pusat haemodialisis yang juga pengeluar sisa klinikal di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, memastikan sisa klinikal SW 404 distor dengan baik.

"Kontraktor yang dilantik hendaklah dilesenkan oleh JAS bagi tujuan pengutipan dan penghantaran sisa berkenaan.

"Seterusnya pengeluar sisa klinikal dan kontraktor perlu memastikan sisa klinikal berkenaan diolah dan dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh JAS," katanya.

Beliau berkata, JAS turut mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai bagi membolehkan tindakan pantas diambil bagi membanteras insiden pencemaran alam sekitar dan salah laku dalam pengurusan buangan terjadual khususnya sisa klinikal dalam keadaan situasi pandemik COVID-19 ini.

Sebarang aktiviti berkaitan pencemaran alam sekitar boleh dilaporkan menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal eaduan JAS di eaduan.doe.gov.my.

Berita Harian X