Khamis, 22 April 2021 | 1:18pm
 Alexander (dua kanan) mengadakan tinjauan pematuhan peniaga sempena SHMMP di Presint 9 Putrajaya. - Foto NSTP/Samadi Ahmad
Alexander (dua kanan) mengadakan tinjauan pematuhan peniaga sempena SHMMP di Presint 9 Putrajaya. - Foto NSTP/Samadi Ahmad

Bekalan ayam mencukupi hingga selepas Aidilfitri

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan ayam mencukupi walaupun selepas Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pengguna tidak perlu bimbang kerana kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pengeluar ayam terbesar dan mereka memberi jaminan bekalan mencukupi.

"Semalam saya menghubungi seorang pengusaha ladang ternakan ayam terbesar dan beliau memberi jaminan bekalan mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Oleh kerana bekalan ayam mencukupi tiada alasan bagi pengusaha dan peniaga untuk tidak mematuhi harga (siling) ayam yang ditetapkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuat kuasa semalam," katanya selepas mengadakan tinjauan terhadap pematuhan peniaga sempena SHMMP di MyFarm Outlet Presint 9 hari ini.

Mengenai rungutan peniaga ayam yang tidak berpuas hati dengan harga siling RM7.90 sekilogram bagi ayam standard di bawah SHMMP kerana didakwa tidak menguntungkan mereka, Alexander berkata, pihaknya telah mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak sebelum membuat penetapan harga.

Harga ayam dan telur telah ditetapkan dari peringkat ladang dan tidak sepatutnya peniaga atau peruncit berdepan dengan masalah harga tinggi apabila membeli dari pemborong.

"Di seluruh negara, 12 item dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021, dari runcit ke borong mesti ikut harga yang kami tetapkan di setiap peringkat. Sebab itu peruncit ini tak sepatutnya kehilangan margin atau keuntungan mereka kerana kami sudah teliti dengan mendalam dan pastikan peniaga tidak sepatutnya terjejas," katanya.

 Alexander (dua kanan) mengadakan tinjauan pematuhan peniaga sempena SHMMP di Presint 9 Putrajaya. - Foto NSTP/Samadi Ahmad
Alexander (dua kanan) mengadakan tinjauan pematuhan peniaga sempena SHMMP di Presint 9 Putrajaya. - Foto NSTP/Samadi Ahmad

SHMMP 2021 selama 30 hari dilancarkan di seluruh negara bermula semalam, iaitu 22 hari sebelum Aidilfitri, 1 Syawal dan tujuh hari selepas itu. Skim ini membabitkan 12 jenis barangan keperluan utama dalam empat kategori ayam, telur ayam, daging dan hasil laut bagi pelaksanaan fasa pertama berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Alexander berkata, pada hari pertama pelaksanaan SHMMP, KPDNHEP menerima dua aduan berkenaan kenaikan harga ayam dan pada peringkat awal, pihaknya mengambil pendekatan menasihati peniaga supaya mematuhi skim yang ditetapkan.

Mengenai desakan sesetengah pengusaha daging tempatan yang mahu harga siling dikaji semula, beliau berkata, kementerian tidak berhasrat mengkaji semula harga siling semua 12 item di bawah SHMMP itu kerana harga yang ditetapkan telah dipersetujui pihak berkepentingan seperti pemain industri dan kementerian berkaitan.

"Buat masa sekarang saya belum nak buat perubahan (harga siling). Saya berharap semua pihak jangan mempolitikkan hal ini. Kita nak jaga semua bukan nak menganiaya mana-mana pihak. Kami jaga pengguna dan peniaga juga," katanya.

Alexander berkata, kerajaan juga hanya menetapkan harga siling untuk bahagian tertentu daging dan bukan keseluruhan lembu, jadi peniaga bebas untuk menjual bahagian lain lembu pada harga yang difikirkan sesuai.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 adalah tepat pada waktunya. Ada yang kata KPDNHEP terlalu lambat melaksanakan skim itu.

"Bukan lambat, tapi kami pantau dulu dan buat libat urus dengan semua pihak. Selepas seminggu memang kami letakkan strategi sepertimana sedia maklum, ia dibuat secara berperingkat iaitu hanya 12 item dahulu yang merangkumi daging, ayam, telur dan ikan.

"Bagi sayur masih belum ditetapkan lagi harga siling kerana buat masa sekarang belum ada indikator yang menunjukkan harga sayur yang biasanya dikawal sudah naik harga," katanya.

Berita Harian X