Rabu, 21 April 2021 | 6:36pm
Penggiliran wajar dibuat ikut darjah, bukan pecahkan satu darjah kepada dua kumpulan. - Foto hiasan NSTP
Penggiliran wajar dibuat ikut darjah, bukan pecahkan satu darjah kepada dua kumpulan. - Foto hiasan NSTP

Penggiliran perlu ikut tahap persekolahan

KUALA LUMPUR: Sistem penggiliran untuk pelajar hadir ke sekolah dibuat bagi mengelak kesesakan dan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) wajar dilaksanakan supaya kebolehjangkitan COVID-19 dapat diatasi.

Namun, penganalisis pendidikan berpandangan sistem penggiliran tidak boleh memisahkan pelajar mengikut kelas dalam satu darjah. Sebaliknya dicadangkan penggiliran mengikut darjah atau tahap persekolahan.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata penggiliran mengikut kelas hanya akan menyebabkan ada pelajar akan keciciran selain menambah beban guru.

Penggiliran perlu mengikut darjah seperti tiga hari untuk pelajar Tahap Satu dan tiga hari lagi untuk pelajar Tahap Dua.

"Jika di bahagikan satu kelas kepada dua kumpulan kita khuatir kerja guru bertambah dan tahap keberkesanan berbeza dan ada yang keciciran satu-satu topik," katanya.

Beliau mengulas cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) supaya sistem penggiliran untuk murid hadir ke sekolah dibuat bagi mengelak kesesakan dan ketidakpatuhanSOP.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata menerusi sistem itu, setiap kelas dibahagikan kepada dua kumpulan dan penggiliran dilakukan dengan pembahagian hari bagi murid untuk hadir ke sekolah dan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mengulas isu sama, pensyarah kanan Hasniza Che Noh dari Jabatan Bahasa dan Komunikasi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) Terengganu yang setuju jika penggiliran dibuat berdasarkan darjah bukan memindahkan satu darjah kepada dua kumpulan.

Katanya, pengurusan lebih mudah jika giliran dibuat ikut darjah.

"Penggiliran ini boleh kurangkan 50 peratus jumlah pelajar dan dalam masa yang sama mereka yang dicutikan boleh teruskan pembelajaran di rumah.

"Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) boleh diteruskan dan kelemahan pelaksanaannya pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diperbaiki," katanya.

Berita Harian X