Rabu, 21 April 2021 | 3:24pm
Foto hiasan - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Foto hiasan - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

NUTP syor sistem penggiliran ke sekolah

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan sistem penggiliran untuk murid hadir ke sekolah dibuat bagi mengelak kesesakan dan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata menerusi sistem itu, setiap kelas dibahagikan kepada dua kumpulan dan penggiliran dilakukan dengan pembahagian hari bagi murid untuk hadir ke sekolah dan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Dalam tempoh terdekat ini kita nak cadangkan supaya diadakan sistem penggiliran bagi sekolah yang dibuka bertujuan mengelak kesesakan murid di sekolah.

"Contohnya, satu kelas Tahun Enam ada 40 murid, bahagikan kepada dua kumpulan, kalau sekolah di Kedah, Kelantan atau Johor, kumpulan A datang ke sekolah pada Ahad, Isnin, Selasa manakala kumpulan B pula menjalani PdPR.

"Seterusnya bagi Rabu dan Khamis penggiliran dilakukan yang mana kumpulan B hadir ke sekolah manakala kumpulan A sebaliknya. Jadi proses pembelajaran bersemuka antara murid dan guru masih ada dan pada masa sama bilangan yang hadir itu dalam kawalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) semalam supaya Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menutup semua sekolah buat sementara waktu.

Presiden PIBGN, Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata ia susulan peningkatan kes di beberapa negeri dan pertambahan kes membabitkan guru dan murid sekolah.

Ditanya sama ada cadangan penggiliran itu akan membebankan guru dan juga ibu bapa yang sudah kembali keluar bekerja, Aminuddin berkata ia antara cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan dalam usaha berterusan mengekang penularan COVID-19.

"Kalau nak fikir masalah bagi pihak ibu bapa yang bekerja, kalau sekolah diarah tutup pun, akan timbul juga masalah untuk mereka kerana siapa nak jaga anak di rumah.

"Maksudnya setiap perkara yang hendak dibuat itu ada kekurangan dan kelebihannya, tapi bagi saya dalam keadaan sekarang ini dan usaha untuk mengekang penularan COVID-19 mungkin itu antara cadangan yang boleh dipertimbangkan," katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya sememangnya tidak bersetuju cadangan penutupan sekolah seluruh negara hanya kerana kes berlaku di sekolah di negeri tertentu.

Katanya, penutupan sekolah seluruh negara hanya akan mewujudkan 'kemiskinan pembelajaran' dalam kalangan murid di negara ini.

"Kita mahu penutupan hanya kepada sekolah di kawasan yang berisiko dan yang mana guru dan pelajar didapati positif COVID-19.

"Sekarang ini murid kita dah terlalu banyak kekurangan dalam aspek untuk hadir ke sekolah dan belajar secara bersemuka.

"Walaupun PdPR boleh dilaksanakan tapi kalau nak lihat impak positifnya, bersemuka itu lebih memberi kesan, tapi kalau keadaan terdesak, PdPR itu benda yang wajib kita laksanakan sebab tiada pilihan lain," katanya.

Tambah beliau, masalah kadang kala bukan membabitkan SOP di sekolah tetapi yang lebih dibimbangkan ialah kekurangan maklumat dan sejarah pergerakan murid sebelum hadir ke sekolah.

"SOP di sekolah tidak ada masalah , yang kita bimbang murid yang hadir ke sekolah itu kita tidak tahu mereka dari mana, siapa kontak rapat sebelum pergi ke sekolah dan kadang-kadang mereka yang disahkan positif tidak menunjukkan gejala sebelum itu," katanya.

Berita Harian X