Selasa, 20 April 2021 | 5:17pm

'Semuanya di bahu Agong'

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen yang mendakwa mereka mewakili Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong meminta perkenan baginda supaya perisytiharan itu ditamatkan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam merangkap pengerusi jawatankuasa menyerahkan memorandum itu kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di Pintu 3, Istana Negara, jam 3.20 petang tadi.

"Kami tuntut supaya darurat ditamatkan dan Parlimen dibenar bersidang seperti biasa," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum itu.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (Ahli Parlimen Kota Raja) dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata keputusan untuk menamatkan darurat atau sebaliknya terletak di bahu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Khalid Samad (kiri) bersama Dr Mahathir (tengah) selepas menyerahkan memorandum Bubarkan Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Khalid Samad (kiri) bersama Dr Mahathir (tengah) selepas menyerahkan memorandum Bubarkan Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

"Rakyat tidak seperti biasa, berasa tidak senang (dengan pengisytiharan darurat).

"Maka terpaksa kita sampaikan perkara ini (cadangan tamatkan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong)," katanya.

Dr Mahathir bersama Khalid dan Mohamad Sabu masuk ke istana pada jam 3.15 petang untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memperkenankan penamatan darurat, dan keluar setengah jam kemudian.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau hingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkait.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara.

Dr Mahathir Mohamad bertemu media selepas menyerahkan memorandum Bubarkan Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Dr Mahathir Mohamad bertemu media selepas menyerahkan memorandum Bubarkan Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X