Isnin, 19 April 2021 | 11:07pm
Muhyiddin beramah mesra dengan jemaah yang hadir selepas menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih di Masjid Jamek Al-Amaniah. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS
Muhyiddin beramah mesra dengan jemaah yang hadir selepas menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih di Masjid Jamek Al-Amaniah. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS

Muhyiddin solat Isyak, Tarawih di Masjid Jamek Al-Amaniah

GOMBAK: Tan Sri Muhyiddin Yasin meluangkan masa mendirikan solat Isyak dan sunat Tarawih bersama lebih 500 jemaah Masjid Jamek Al-Amaniah di sini, malam ini.

Selesai menunaikan solat Tarawih, Perdana Menteri kemudian menyertai qariah masjid dan jemaah lain menikmati hidangan moreh bersama, selain beramah mesra dengan penduduk setempat.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhamad Hilman Idham.

Muhyiddin berdoa ketika menunaikan solat sunat di Masjid Jamek Al-Amaniah. Turut hadir, Mohamed Azmin. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS
Muhyiddin berdoa ketika menunaikan solat sunat di Masjid Jamek Al-Amaniah. Turut hadir, Mohamed Azmin. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS

Sementara itu, Mohamed Azmin yang ditemui selepas majlis itu berkata, Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM3.85 juta untuk membangunkan semula Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Amaniah, yang terletak bersebelahan masjid berkenaan.

"Masjid ini amat bertuah kerana pada tahun lalu Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM3.85 juta untuk membangunkan semula sekolah agama rakyat ini.

"Sekolah ini sudah uzur dan berusia 30 tahun. Apabila saya bawa perkara ini kepada Perdana Menteri, beliau luluskan.

"Selain itu, Perdana Menteri juga meluluskan peruntukan RM100,000 untuk menaik taraf sistem pembesar suara masjid ini," katanya.

Berita Harian X