Isnin, 19 April 2021 | 10:37pm
Muhyidin menerima penghargaan daripada Jagir pada program minum petang bersama penganut agama Sikh sempena perayaan Vaisakhi 2021 di Gudwara Sahib Petaling Jaya pada 12 April lalu. FOTO NSTP
Muhyidin menerima penghargaan daripada Jagir pada program minum petang bersama penganut agama Sikh sempena perayaan Vaisakhi 2021 di Gudwara Sahib Petaling Jaya pada 12 April lalu. FOTO NSTP

Muhyiddin tak kata negara ini hampir muflis

KUALA LUMPUR: Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) menafikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan 'negara ini hampir muflis' ketika menghadiri majlis minum petang Vaisakhi pada 12 April lalu.

Presiden MGC, Jagir Singh, berkata Perdana Menteri hanya berkata COVID-19 dan keadaan ekonomi menyebabkan negara terpaksa berbelanja besar menyebabkan 'baki wang tidak banyak'.

"Semua yang hadir pada majlis itu boleh menjadi saksi. Apa yang dinyatakan Perdana Menteri ialah disebabkan COVID-19 dan keadaan ekonomi, negara terpaksa berbelanja besar hingga melebihi RM600 bilion dan ini menyebabkan baki wang yang ada sudah tidak banyak.

"Ini jauh berbeza dengan kenyataan 'negara hampir muflis'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jagir berkata, MGC amat menghargai peruntukan RM4 juta diberikan kerajaan kepada 120 gurdwara di seluruh negara, termasuk RM1 juta untuk cadangan penubuhan Pusat Sikh Malaysia.

Beliau berkata, MGC amat menghargai keprihatinan kerajaan yang mengambil kira situasi ekonomi semasa selain hakikat perbelanjaan kerajaan melebihi RM600 bilion.

Jagir turut berkata, MGC menyokong penuh pelancaran Dasar Perpaduan Negara yang berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara dalam usaha menyatupadukan rakyat. - BERNAMA

Berita Harian X