Isnin, 19 April 2021 | 9:01pm
 Hamzah (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Imigresen Malaysia kumpulan Pengurusan dan Profesional kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik M54 Pengarah Bahagian Pekerja Asing kepada Mohammad Abiddin Abd Rahman, (kanan) di Putrajaya. - NSTP/AZHAR RAMLI
Hamzah (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Imigresen Malaysia kumpulan Pengurusan dan Profesional kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik M54 Pengarah Bahagian Pekerja Asing kepada Mohammad Abiddin Abd Rahman, (kanan) di Putrajaya. - NSTP/AZHAR RAMLI

Pelan Rekalibrasi PATI jana lebih RM35j

PUTRAJAYA: Kerajaan mengutip RM35.1 juta daripada bayaran kompaun dan pas khas terhadap warga asing yang ingin kembali ke negara masing-masing menerusi Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dilancarkan November lalu, setakat semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pada masa sama, seramai 145,830 PATI turut mendaftar dengan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang.

Beliau berkata, ada antara mereka mahu dihantar pulang manakala sesetengahnya memilih untuk terus bekerja di negara ini.

"Pelan Rekalibrasi mempunyai angka yang begitu besar, melebihi 140,000 daripada yang kita daftarkan.

"Apa yang kita lakukan adalah untuk mereka keluar dan pastikan kedudukan mereka di negara ini. Kita bukan tidak mahu mereka bekerja tetapi mesti mempunyai dokumen sah.

"Itu yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Imigresen Malaysia, petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Difahamkan, seramai 72,324 daripada mereka yang berdaftar dalam pelan berkenaan memilih untuk pulang ke negara asal masing-masing manakala 73,506 ingin kekal bekerja di negara ini.

Hamzah berkata, ia menunjukkan program berkenaan boleh dibanggakan berikutan ada yang mempunyai persepsi ramai warga asing tidak mempunyai dokumen berada di negara ini.

"Ini menunjukkan Jabatan Imigresen melaksanakan tanggungjawab menerusi pengusiran dan operasi sehingga mencapai kejayaan membanggakan," katanya.

Hamzah berkata, Jabatan Imigresen perlu memastikan warga asing yang berada di negara ini mempunyai dokumen sewajarnya termasuk dalam memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan serta mencapai imuniti kelompok seperti dihasratkan kerajaan.

Hamzah turut menghargai kejayaan Jabatan Imigresen sepanjang episod penularan COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, Khairul Dzaimee dalam ucapannya berkata, pasukannya turut terbabit menghasilkan beberapa inovasi teknologi maklumat (ICT) yang menyumbang kepada pengurusan hal ehwal Imigresen yang lebih cekap.

Beliau berkata, antaranya teknologi My Travel Pass yang membolehkan urusan keluar masuk warga tempatan dan asing seperti ahli perniagaan, pelabur dan golongan profesional; Sistem Temujanji Online (STO) untuk memudahkan pelanggan mendapat janji temu secara dalam talian.

Selain itu, katanya, Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang membolehkan pertanyaan berkaitan dasar semasa dan peraturan jabatan itu dibuat secara dalam talian dengan jawapan diberi dalam masa tiga hari.

Berita Harian X