Isnin, 19 April 2021 | 6:27pm
(Gambar fail) Foto hiasan - Arkib NSTP
(Gambar fail) Foto hiasan - Arkib NSTP

Senarai guru dikumpul untuk fasa kedua program imunisasi

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengumpulkan senarai guru swasta dan kerajaan yang bakal dimasukkan sebagai penerima vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Penyelaras program imunisasi itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata senarai guru dikenal pasti berkenaan akan diberi tarikh janji temu bagi mendapatkan suntikan pelalian masing-masing.

Namun, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pemberian vaksin itu kepada golongan pendidik akan turut bergantung pada jumlah bekalan semasa pelalian yang ada di Malaysia.

"Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) memutuskan supaya guru diberi keutamaan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta komorbid dalam fasa kedua program imunisasi, iaitu kira-kira 500,000 guru dalam sektor swasta dan awam di seluruh negara.

"Ia selaras risiko kebarangkalian jangkitan, terutama di sekolah yang sudah mula dibuka di seluruh negara. Justeru apabila ada kemampuan (bekalan vaksin), kita akan mula memberikan suntikan pelalian kepada mereka.

"Mengenai 54,537 guru yang disenaraikan dalam fasa pertama program imunisasi kerana menghidap penyakit kronik atau komorbid pula, seramai 11,902 telah menerima sekurang-kurang dos pertama suntikan vaksin.

"Selebihnya akan menerima suntikan mereka dalam bulan ini," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan setakat ini, seramai 1,438,974 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin, OKU (136,798) dan komorbiditi (2,029,297).

Beliau berkata, fasa kedua program imunisasi itu bermula secara berperingkat dengan 30 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan, hari ini.

"Seramai 9,916 individu dijadualkan menerima suntikan vaksin, hari ini. Dewan 2020 di Perlis menyaksikan kumpulan terbesar diberi suntikan vaksin, hari ini, membabitkan 924 orang.

"Bagaimanapun, pelaksanaan fasa satu program imunisasi masih diteruskan untuk 258,783 petugas barisan hadapan yang kebanyakannya untuk melengkapkan suntikan dos kedua mereka.

"Negeri-negeri seperti Selangor masih menghabiskan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan," katanya.

Menjelaskan lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, fasa kedua program imunisasi di Selangor akan bermula 26 April ini, berikutan segelintir petugas barisan hadapan di negeri itu masih dalam proses melengkapkan dos suntikan vaksin masing-masing.

Selain itu, beliau berkata, seramai 888 pesakit dirancang diberi suntikan pelalian di Pusat Pemberian Vaksin Khas (PPVK) di 14 hospital meliputi tujuh negeri, hari ini.

"Kumpulan pesakit itu membabitkan empat kategori, iaitu ada sejarah alergi tertentu tetapi boleh menerima vaksin, sistem pertahanan badan lemah, berisiko mengalami pendarahan akibat penyakit atau ubat tertentu, dan pesakit kronik serta ibu mengandung di hospital," katanya.

Mengenai usaha menggalakkan pendaftaran imunisasi melalui kunjungan dari rumah ke rumah, beliau berkata, program itu sedang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi, malah berjaya membantu pendaftaran 51,998 individu berusia 18 tahun dan ke atas, setakat ini.

Berita Harian X