Isnin, 19 April 2021 | 6:16pm
Hishammuddin (kanan) dan pegawai Kementerian Luar mengadakan pertemuan secara maya dengan Payne. FOTO DARI FACEBOOK DATUK SERI HISHAMMUDDIN HUSSEIN
Hishammuddin (kanan) dan pegawai Kementerian Luar mengadakan pertemuan secara maya dengan Payne. FOTO DARI FACEBOOK DATUK SERI HISHAMMUDDIN HUSSEIN

Malaysia, Australia mahu iktiraf Sijil Vaksinasi

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia akan memperhalusi cadangan mengiktiraf Sijil Vaksinasi masing-masing bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pengiktirafan sijil terbabit penting kerana ia juga membabitkan nasib lebih 19,000 pelajar Malaysia menuntut di Australia.

"Berhubung pandemik COVID-19, kami mengadakan perbincangan yang konstruktif membabitkan pelan vaksinasi negara masing-masing yang sedang berlangsung ketika ini.

"Saya mencadangkan Malaysia dan Australia bekerjasama ke arah pengiktirafan Sijil Vaksinasi. Malaysia percaya perkara ini penting bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan dan pemulihan untuk kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Hishammuddin mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar merangkap Menteri Wanita Australia, Marise Payne secara maya.

Dalam pertemuan itu, Hishammuddin berkata, beliau dan Payne turut membincangkan pelan tindakan memperkukuhkan hubungan Malaysia-Australia yang kini ditingkatkan ke tahap Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).

Katanya, tiga tonggak utama diberi perhatian iaitu kesejahteraan ekonomi, masyarakat dan teknologi serta kerjasama pertahanan dan keselamatan wilayah.

"Kami juga menyentuh isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi terkini di Myanmar terutama kebimbangan berhubung penggunaan senjata bahaya oleh pasukan keselamatan yang mengakibatkan jumlah kematian semakin meningkat.

"Sebagai Negara Penyelaras ASEAN-Australia, saya turut berkongsi mengenai Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada hujung minggu ini di Jakarta yang dijangka turut menyentuh isu di Myanmar," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Hishammuddin berkata, Malaysia, Brunei dan Australia membincangkan peluang serta potensi kerjasama berkaitan kesihatan mental.

Beliau berkata, perbincangan bersama Payne dan Menteri Luar Brunei, Datuk Seri Setia Haji Erywan Pehin Datuk Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof turut menzahirkan kebimbangan berhubung peningkatan masalah kesihatan mental di rantau ini terutama disebabkan pandemik COVID-19.

"Fokus perbincangan lebih terarah kepada inisiatif kesihatan mental yang menjadi keutamaan Brunei selaku Pengerusi ASEAN 2021.

"Kami turut diberi penerangan oleh Beyond Blue, sebuah organisasi kesihatan mental berpusat di Australia mengenai gambaran keseluruhan cabaran kesihatan mental terutama di era COVID-19 serta usaha menanganinya menerusi kaedah kesedaran, pencegahan dan rawatan," katanya.

Berita Harian X