Isnin, 19 April 2021 | 5:00pm
Alexander bersama timbalannya, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (dua kiri) selepas sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Alexander bersama timbalannya, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (dua kiri) selepas sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Ayam antara 12 barangan kawalan harga musim perayaan

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan 12 jenis barangan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021, bermula Rabu ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata senarai barang yang diumumkan dalam SHMMP termasuk ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Katanya, SHMMP itu dilaksanakan sebagai langkah menyekat kenaikan harga keperluan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

"Jumlah barangan akan ditambah dari semasa ke semasa menjelang Aidilfitri dan dijangka lebih 20 barangan utama akan diumumkan.

"Pengumuman 12 barangan ini adalah susulan berlaku peningkatan harga mendadak sejak kebelakangan ini," katanya dalam sidang media pengumuman SHMMP di kementeriannya di sini, hari ini.

Alexander berkata, tempoh kuat kuasa SHMMP adalah 30 hari iaitu 22 hari sebelum dan tujuh hari selepas perayaan yang dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berharap skim berkenaan akan memberi mesej kepada pengeluar, pemborong dan peruncit, selain menegaskan kerajaan mempunyai kuasa di bawah akta terbabit dan boleh melaksanakan kawalan harga demi kepentingan rakyat.

"Jika peniaga sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat membuat keuntungan berlebihan, KPDNHEP boleh bertindak bawah akta yang dinyatakan.

"Notis di bawah Seksyen 21 akta berkenaan turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak.

"Ingin diingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan bawah skim ini," katanya sambil menambah peniaga yang melakukan kesalahan berkenaan boleh diambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta dikenakan penalti.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, katanya, individu terbabit boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Alexander berkata, pihak syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

"Kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal terbabit menyebabkan pihak terbabit didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000," katanya.

Bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang, beliau berkata, KPDNHEP akan menempatkan pegawai penguat kuasa di lokasi tumpuan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Katanya, langkah itu adalah usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika pada musim perayaan.

"KPDNHEP turut menyediakan pelbagai medium bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga, selain mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan," katanya.

Berita Harian X