Isnin, 19 April 2021 | 4:57pm
Tunku Ismail berkenan menerima mengadap Sahilon, Suhaimi, Ismail Abdul Razak di Markas Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF). FOTO DARI FACEBOOK RASMI TUNKU MAHKOTA JOHOR
Tunku Ismail berkenan menerima mengadap Sahilon, Suhaimi, Ismail Abdul Razak di Markas Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF). FOTO DARI FACEBOOK RASMI TUNKU MAHKOTA JOHOR

'Jangan berulang lagi'

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim tidak mahu insiden meletakkan syarat kaum dalam pendaftaran aktiviti kokurikulum di sekolah berulang lagi di negeri ini.

Dalam hantaran di akaun Facebook rasminya, baginda bertitah, sekolah adalah tempat memupuk semangat perpaduan rakyat Johor, bukan untuk memecah belahkan masyarakat.

"Saya menerima makluman kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Bentara Luar, Batu Pahat yang membabitkan syarat kaum untuk pendaftaran aktiviti kokurikulum.

"Saya bertitah kepada pengetua sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor kejadian ini tidak patut berlaku lagi di mana-mana sekolah di negeri ini.

"Tindakan ini tidak selaras dengan Bangsa Johor yang memupuk perpaduan antara kaum di bawah satu identiti untuk semua rakyat Johor.

"Kejadian ini perlu dielakkan untuk mengekalkan kesejahteraan awam dan perpaduan rakyat," titah baginda.

Tunku Ismail hari ini turut berkenaan menerima menghadap Timbalan Pengarah JPN (Pemangku Pengarah JPN Johor), Sahilon Abd Halim; Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat, Dr Suhaimi Ismail; Pegawai Daerah Batu Pahat, Ismail Abu dan Pengetua SMK Dato' Bentara Luar, Abdul Razak Hamid di Markas Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Semalam media melaporkan, Abdul Razak memohon maaf kerana insiden mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa dan jantina pelajar.

Abdul Razak dilaporkan berkata, pihaknya terlepas pandang mengenai isu kaum dalam maklumat yang diedarkan kepada semua pelajar Tingkatan 1, berhubung pendaftaran dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum.

"Kesilapan yang berlaku tidak disengajakan dan terjadi atas sebab kesilapan kami kerana kurang ketelitian, sebelum maklumat disebar-luaskan.

"Pihak kami berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang berlaku," katanya dalam kenyataan semalam.

Berita Harian X