Isnin, 19 April 2021 | 3:34pm
Foto hiasan
Foto hiasan

COVID-19: Katil hospital, PKRC di Kelantan hampir penuh

KOTA BHARU: Kadar penggunaan katil di hospital dan enam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kelantan hampir penuh susulan peningkatan kes di negeri itu.

Lima PKRC sedia ada sudah mencecah 79 hingga 103 peratus bilangan pesakit, manakala sebuah PKRC yang baru dibuka beberapa hari lalu mencecah 33 peratus bilangan pesakit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata susulan peningkatan jumlah pesakit, pihaknya bercadang membuka sebuah lagi PKRC dalam tempoh terdekat, iaitu Dewan Jabatan Belia di Panji di sini.

"Jika kes semakin meningkat, terdapat pesakit yang terpaksa diasingkan di rumah.

"Bagi mengurangkan sampel yang tertunggak, Jabatan Kesihatan negeri sudah mendapat bantuan daripada makmal di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Makmal Kesihatan Awan Ipoh, Perak," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Dr Zaini berkata, jangkitan dalam kluster dilaporkan berlaku di tempat kerja atau sekolah dan masjid ketika kelas pengajian dan mesyuarat.

"Selain itu, majlis keramaian seperti kenduri, penjara dan komuniti.

"Sebanyak 23 peratus dikesan melalui saringan bergejala dan tidak bergejala serta dari Zon Merah yang tiada kaitan

epidemiologi. Jumlah peratusan itu menunjukkan jangkitan dalam komuniti adalah tinggi," katanya.

Beliau berkata, Kelantan terus mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.43 setakat semalam, berbanding Rt nasional 1.16.

Media semalam melaporkan, Kelantan merekodkan kes tertinggi dengan sebanyak 332 kes baharu COVID-19 dan dua kematian membabitkan warga emas berusia 72 dan 77 tahun.

Berita Harian X