Isnin, 19 April 2021 | 2:22pm

Lebih 2.25 juta dos vaksin dijadualkan tiba April, Mei

PUTRAJAYA: Malaysia dijadualkan menerima lebih 2.25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech serta Sinovac, bulan ini dan Mei depan, untuk menampung pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Penyelaras program itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata tiga siri penghantaran bekalan vaksin Pfizer-BioNTech terbabit dijangka tiba di Malaysia, minggu ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, bekalan tambahan pertama dijadualkan tiba pada Rabu ini membabitkan sejumlah 128,700 dos, diikuti 36,270 dos (Khamis) dan 12,870 dos (Jumaat).

"Pada Mei depan, kita dijadualkan menerima 1,038,960 dos vaksin Pfizer dan 500,000 dos vaksin Sinovac yang juga produk siap dari China. Kesemua bekalan ini akan tiba secara berperingkat setiap minggu.

"Selain itu, kita ada bekalan vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga membabitkan 1,800 liter yang diperoleh secara pukal dan berupaya menghasilkan hingga 2.6 juta dos.

"Bagaimanapun, bekalan melalui Pharmaniaga masih menunggu kelulusan pengesahan produk daripada Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA)," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), di sini, hari ini.

Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula hari ini hingga Ogos depan, bakal meliputi 9.4 juta penerima dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan, mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) turut bersetuju memberi vaksin kepada individu dan pasukan yang mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa.

"Mereka dikategorikan sebagai kelompok signifikan kebangsaan. Jika kita tengok amalan negara lain, sama juga seperti New Zealand yang memberi suntikan vaksin kepada atlet mereka lebih awal.

"Atlet kita bukan sekadar akan mewakili negara di Olimpik Tokyo, namun ada perlawanan peringkat kelayakan sebelum temasya sukan itu.

"Baru-baru ini, skuad badminton kita didapati positif COVID-19. Mereka terdedah kepada risiko jangkitan apabila mewakili Malaysia bertanding pada peringkat antarabangsa.

"Begitu juga dengan skuad bola sepak negara. Walaupun 99 peratus tidak pasti layak atau sebaliknya, vaksin perlu diberi kepada mereka kerana dalam proses ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk perlawanan kelayakan," katanya sambil menambah penerima dalam kalangan atlet tidak mewakili jumlah yang besar.

Berhubung pengurusan logistik ketika pelaksanaan fasa kedua program imunisasi pula, beliau berkata, pasangan suami isteri berdaftar sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera akan diberi tarikh janji temu pada hari sama.

Katanya, pasangan suami isteri yang mendaftar berasingan dan menggunakan aplikasi MySejahtera masing-masing, berkemungkinan diberi tarikh janji temu berbeza.

"Namun, mereka boleh menghubungi talian utama untuk memohon diberi tarikh janji temu sama bagi memudahkan urusan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Ditanya sekiranya mana-mana individu terlepas tarikh janji temu bagi mendapatkan suntikan vaksin pula, Khairy Jamaluddin menjelaskan, mereka akan diberi tarikh baharu dan perlu mengesahkan perkara itu.

Khairy pada sidang media mengenai perkembangan terkini Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Ibu Pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini. - Foto BERNAMA
Khairy pada sidang media mengenai perkembangan terkini Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Ibu Pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X