Isnin, 19 April 2021 | 2:16pm

Jangkitan meningkat kira-kira 45 peratus

KUALA LUMPUR: Jangkitan COVID-19 meningkat mendadak sejak tiga minggu lalu dengan pertambahan kira-kira sebanyak 45 peratus, minggu ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pada minggu ke-15, sebanyak 13,745 kes baharu direkodkan, berbanding 9,507 kes pada minggu ke-14.

Ini bermakna, katanya, purata kes harian pada minggu ke-15 sebanyak 1,963 kes, iaitu meningkat sebanyak 45 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Pada minggu ke-15 juga, beliau berkata, purata kes aktif sebanyak 17,096 dengan peningkatan 18 peratus, berbanding kes sebelumnya.

Dr Adham berkata, peningkatan wabak itu dikesan berlaku sejak tiga minggu lalu, iaitu bermula pada minggu ke-12 tahun ini.

"Unjuran 45 peratus peningkatan kes berlaku berbanding minggu ke-14," katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hanya lima peratus daripada lebih 15,000 responden yang menyertai tinjauan online Kementerian Kesihatan menolak suntikan vaksin COVID-19.

Katanya, jumlah itu berkurangan berbanding dapatan tinjauan Disember lalu, yang merekodkan sebanyak 16 peratus tidak bersetuju dan 17 peratus tidak pasti menerima vaksin.

"Hasil dapatan tinjauan terbaharu ini juga mendapati sebanyak 85 peratus bersetuju menerima vaksin, manakala 10 peratus tidak pasti," katanya.

Tinjauan itu dilakukan selama tiga minggu bermula 3 April lalu itu membabitkan seramai 15,639 responden dengan 88.3 peratus sudah mendaftar sebagai penerima vaksin, 6.1 peratus sudah menerima vaksin dan 55.4 peratus golongan berpendapatan 40 peratus terendah serta 4.8 peratus bukan warganegara.

Petugas Kementerian Kesihatan memberi vaksin fasa kedua di Pusat Pemberian Vaksin Daerah Kota Setar, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Petugas Kementerian Kesihatan memberi vaksin fasa kedua di Pusat Pemberian Vaksin Daerah Kota Setar, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X