Isnin, 19 April 2021 | 2:09pm

Kerajaan pertimbang tambah permit import ayam

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan rundingan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membincangkan penambahan permit import (AP) ayam bagi mengawal harga di pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata langkah itu diyakini mampu menyelesaikan masalah kenaikan harga haiwan ternakan itu, terutama ketika musim perayaan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu kenaikan harga ayam dan akan mencari penyelesaian bagi mengatasinya supaya pengguna tidak teraniaya.

"Apabila AP masuk, maka akan berlaku lambakan ayam dan pihak kita (KPDNHEP) akan kembali kepada formula permintaan dan penawaran.

"Selepas bekalan ayam banyak, permintaan akan berkurangan seterusnya harga akan menjadi murah. Pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dengan MAFI berhubung perkara ini dalam tempoh terdekat," katanya selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan barangan keperluan di Pasar Chabang Tiga, di sini, hari ini.

Rosol (tiga dari kanan) meninjau harga ayam yang dilaporkan meningkat sehingga RM10 sekilogram ketika melakukan tinjauan di Pasar Chabang Tiga hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Rosol (tiga dari kanan) meninjau harga ayam yang dilaporkan meningkat sehingga RM10 sekilogram ketika melakukan tinjauan di Pasar Chabang Tiga hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori

BH semalam melaporkan, kenaikan harga makanan ternakan, iaitu soya dan jagung yang diimport dari Argentina dan Brazil dikenal pasti antara punca menyumbang kepada peningkatan harga ayam dalam pasaran.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata analisa awal mendapati kenaikan harga makanan ternakan itu menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan daripada peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

Dalam pada itu, Rosol berkata sebanyak 42 notis dikeluarkan kepada pemborong, penternak dan pengeluar sehingga semalam.

"Semua notis itu dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, dengan sejumlah 25 notis kepada pemborong, manakala 17 lagi kepada penternak dan pengeluar ayam," katanya.

KPDNHEP akan mengadakan rundingan dengan MAFI bagi membincangkan penambahan permit import ayam bagi mengawal harga di pasaran. - NSTP/Asyraf Hamzah
KPDNHEP akan mengadakan rundingan dengan MAFI bagi membincangkan penambahan permit import ayam bagi mengawal harga di pasaran. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X