Isnin, 19 April 2021 | 1:52pm

Hanya 0.003 peratus dijangkiti COVID-19 lepas 2 dos vaksin

PUTRAJAYA: Kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan yang menerima dua dos suntikan vaksin hanya 0.003 peratus.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata petugas barisan hadapan yang sudah menerima suntikan pelalian, tetapi didapati positif wabak itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang gejala teruk atau ringan.

Katanya, tindak balas sistem pertahanan badan susulan pengambilan pelalian sekali gus mencerminkan keberkesanan vaksin dalam menangani risiko jangkitan, maut dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Berdasarkan perangkaan semasa, seramai 272,019 petugas barisan hadapan yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan hanya sembilan daripadanya dijangkiti COVID-19.

"Sekiranya dihitung, kadar kebolehjangkitan dalam kalangan petugas barisan hadapan yang sudah menerima dua suntikan penuh vaksin ialah sekadar 0.003 peratus.

"Malah, daripada apa yang dimaklumkan kepada saya, sembilan kes ini tidak mengalami sebarang gejala teruk atau ringan apabila disahkan positif COVID-19.

"Ini bermakna vaksin sangat berkesan dalam menangani sebarang gejala dan komplikasi berikutan COVID-19," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sabtu lalu dilaporkan berkata seramai sembilan petugas kesihatan dikesan dijangkiti COVID-19 selepas menerima dua dos lengkap vaksin dan melepasi tempoh dua minggu, pasca suntikan pelalian.

Selain itu, 31 kes lagi yang juga membabitkan petugas kesihatan disahkan positif COVID-19 selepas mendapat suntikan pelaian dua dos lengkap, kurang daripada dua minggu.

Menyentuh pemberian dos vaksin ketiga dalam tempoh setahun, Khairy berkata kerajaan ketika ini tidak mempunyai sebarang data mengenai keperluan melaksanakan langkah sedemikian.

"Itu pun pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer (Albert Bourla) yang kata, mungkin memerlukan suntikan dos ketiga, tetapi kita belum ada apa-apa data berhubung perkara berkenaan.

"Walau apa pun, Kementerian Kesihatan, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) dan CITF akan merancang untuk jangka panjang, mungkin vaksin diperlukan pada tahun-tahun akan datang. Kita belum tahu lagi," katanya.

Ditanya keputusan Malaysia mengenai penggunaan AstraZeneca dalam PICK, Khairy berkata JKJAV akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini berhubung perkara berkenaan.

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan yang menerima dua dos suntikan vaksin hanya 0.003 peratus. - Foto hiasan
Kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan yang menerima dua dos suntikan vaksin hanya 0.003 peratus. - Foto hiasan
Berita Harian X