Ahad, 18 April 2021 | 4:30pm
Mohd Khairuddin (tengah) bersama sebahagian pekebun kecil pada majlis Penyerahan Bantuan Pekebun Kecil Getah Peringkat Parlimen Kuala Pilah di Laman Gentam, hari ini. - NSTP/ AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Khairuddin (tengah) bersama sebahagian pekebun kecil pada majlis Penyerahan Bantuan Pekebun Kecil Getah Peringkat Parlimen Kuala Pilah di Laman Gentam, hari ini. - NSTP/ AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Tindakan boikot Belgium tak jejas pasaran sawit Malaysia

KUALA PILAH: Pasaran minyak sawit Malaysia di peringkat dunia tidak terjejas meskipun Kerajaan Belgium bertindak memboikot minyak sawit dan biodiesel sawit negara ini sebagai satu daripada sumber bahan makanan, pada tahun depan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata walaupun Belgium bertindak sedemikian, masih banyak negara lain yang menunjukkan minat terhadap minyak sawit Malaysia terutama dari benua Afrika dan negara Asia Barat.

"Sebagai contoh, baru-baru ini, Afghanistan datang bertemu kita dan meminta Malaysia membekalkan sehingga lebih 100,000 tan minyak sawit kepada mereka berbanding 75,000 tan ketika ini.

"Jadi, kita yakin pasaran sawit negara masih besar di peringkat antarabangsa dan tidak akan terjejas dengan tindakan Belgium itu termasuk boikot yang dilakukan pihak Kesatuan Eropah (EU).

"Kita akan terus bergerak dengan agresif bagi memasarkan minyak sawit tempatan termasuk di beberapa negara Asia Barat dan Afrika serta di peringkat serantau yang menunjukkan peningkatan ketara dan penerimaan yang baik.

"Ini kerana minyak sawit Malaysia adalah premium berbanding dikeluarkan negara lain," katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pekebun Kecil Getah Peringkat Parlimen Kuala Pilah di Dewan Laman Gentam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Nurul Islam Mohamed Yusof.

Mohd Khairuddin berkata, jumlah keseluruhan eksport minyak sawit ke Belgium pada tahun lalu mencecah RM207 juta dan sehingga Februari lalu, nilai eksport komoditi sama ke negara itu berjumlah RM36 juta.

Mengulas tindakan boikot dilakukan Belgium, beliau berkata, satu perbincangan diadakan antara Timbalannya, Datuk Willie Mongin dengan Duta Besar Belgium ke Malaysia, Pascal Hubert Grégoire, di Putrajaya, baru-baru ini.

Katanya, dalam perbincangan itu, Malaysia melahirkan pandangan Kerajaan Belgium patut mempertimbangkan kembali langkah mereka mengecualikan minyak sawit dan biodiesel sawit sebagai antara sumber bahan makanan di bawah EU RED II sama ada dalam perolehan awam atau swasta.

Katanya, pihaknya mengakui Malaysia ketika ini mempunyai 20 juta tan minyak sawit dan jumlah kuantiti itu tidak mampu menampung pasaran dunia yang kini mencecah tujuh bilion pengguna.

"Sebagai langkah jangka panjang, kita sudah merangka untuk memperkasakan lagi pasaran minyak sawit di negara Asia Barat dan Afrika kerana mempunyai nilai pasaran cukup besar di negara berkenaan.

"Berikutan itu, kementerian akan membuka Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia di Jeddah, Arab Saudi yang akan merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), MRC dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC).

"Ketika ini proses membuka pejabat berkenaan sedang giat dijalankan dan dijangka dirasmikan atau boleh memulakan operasi pada bulan depan," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, pejabat berkenaan akan dijadikan Hab Komoditi Malaysia untuk memperluaskan pasaran agrikomoditi negara ke benua Afrika dan Asia Barat yang masing-masing memiliki populasi penduduk seramai 1.34 bilion orang dan 457 juta orang.

"Pembukaan pejabat itu usaha kementerian dalam merealisasikan hasrat menjadikan produk komoditi Malaysia menguasai pasaran di rantau berkenaan termasuk produk oleokimia dan biobahan api pada masa depan," katanya.

Berita Harian X