Rabu, 14 April 2021 | 4:30pm
Najib tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Najib ada kuasa mutlak atas SRC

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Razak mempunyai kuasa mutlak ke atas SRC International Sdn Bhd termasuk pelantikan dan pemecatan pengarah, kerana perlembagaan syarikat membenarkannya.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram berhujah bahawa peruntukan dalam Memorandum dan Artikel SRC menyatakan tiada sesiapapun boleh dilantik sebagai pengarah tanpa restu perdana menteri ketika itu.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Sithambaram: Kami mengatakan bahawa Najib mempunyai kuasa untuk melantik dan memecat bagi pihak SRC.

Abdul Karim: Bukan ahli lembaga pengarah? Sithambaram menjawab 'tidak'.

Sithambaram juga berkata Najib berkuasa mengawal syarikat dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC ketika itu.

"Lembaga itu bertindak atas arahan Najib melalui Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil yang juga 'pelindung' di belakang perayu (Najib)," tambah beliau.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram tiba di perkarangan mahkamah berkaitan kes rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Sithambaram menjelaskan bekas Pengerusi SRC, Tan Sri Ismee Ismail dan pengarahnya Datuk Suboh Md Yassin telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai kuasa yang digunakan oleh Najib.

Pembabitan Najib dalam SRC seawal tahun 2011 apabila syarikat itu diperbadankan sebagai syarikat sendirian berhad.

Sithambaram berkata, perlembagaan syarikat itu menyatakan bahawa Najib mesti dirujuk jika keputusan penting tertentu dibuat.

Tambah beliau, pada mulanya syarikat itu menjadi anak syarikat 1MDB dan kemudian diletakkan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Najib dan memerintahkannya membayar denda RM210 juta setelah mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pendengaran rayuan itu bersambung. – BERNAMA

Berita Harian X