Rabu, 14 April 2021 | 12:19am
Jenazah penuntut Malaysia Muhammad Hafidz Abdullah yang meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan di unit rawatan kritikal sebuah hospital di United Kingdom (UK), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang di sini, kira-kira jam 9.30 malam ini.
Jenazah penuntut Malaysia Muhammad Hafidz Abdullah yang meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan di unit rawatan kritikal sebuah hospital di United Kingdom (UK), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang di sini, kira-kira jam 9.30 malam ini.

Jenazah pelajar meninggal dunia di UK selamat dikebumi

SEREMBAN: Jenazah penuntut Malaysia Muhammad Hafidz Abdullah yang meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan di unit rawatan kritikal sebuah hospital di United Kingdom (UK), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang di sini, kira-kira jam 9.30 malam ini.

Jenazahnya yang tiba dari UK hari ini dibawa ke Masjid Negeri di sini, jam 7 malam untuk disembahyangkan sebelum tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 8.40 malam ini untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya, Nazihahwati Mohiddin, 36 tahun.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan berkenaan dengan kehadiran lebih 50 ahli keluarga.

Muhammad Hafidz, 36, yang berada di tahun kedua pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield itu disahkan meninggal dunia jam 11.35 pagi, 8 April lalu, selepas isterinya membuat keputusan membenarkan pihak hospital Northern General Hospital di Sheffield mematikan alat bantuan pernafasan atas nasihat pasukan perubatan.

Beliau yang juga kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan tiba-tiba pengsan ketika bermain bola di Pusat Sukan Goodwin di Sheffield, pada 4 April lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan ketika rawatan.

Sementara itu bapa Allahyarham, Abdullah Kasim, 65, mengakui sangat sedih dan terkejut selain menyifatkan pemergian Muhammad Hafidz sebagai satu kehilangan besar buat keluarganya.

Beliau yang tiba dari Shah Alam turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana membantu urusan membawa pulang jenazah anaknya.

Katanya, mereka bercadang untuk menziarahi Allahyarham sebaik mengetahui keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot namun terpaksa menangguhkannya kerana kekangan susulan penularan pandemik COVID-19.

"Kami tunggu keadaannya makin pulih tetapi tak sempat kerana dia pergi dulu...dia anak yang baik, bagaimanapun kami reda dengan pemergiannya.

"Kali terakhir kami bersua muka sebelum dia ke UK pada September 2019, dan ketika dia berada di sana pun setiap hari dia telefon kami untuk bertanya khabar dan kali terakhir kami berkomunikasi adalah sehari sebelum arwah pengsan," katanya kepada pemberita di sini, malam ini.– BERNAMA

TAG: meninggal dunia, pelajar, united kingdom, dikebumikan

Berita Harian X