Selasa, 13 April 2021 | 2:19pm
 LRA Sungai Semenyih. - Foto ihsan Selangor Journal
LRA Sungai Semenyih. - Foto ihsan Selangor Journal

Tindakan pantas elak henti tugas LRA Sungai Semenyih

SHAH ALAM: Beberapa tindakan pantas diambil Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih susulan insiden pencemaran air Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, berkata tindakan segera diambil selepas LUAS menerima laporan air Sungai Batang Benar berwarna putih ekoran insiden sebuah kilang cat terbakar di Nilai 3.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat aliran air berwarna putih masuk ke Tasik Ujana Nilai Impian sebelum memasuki Sungai Batang Benar dan difahamkan ia berlaku berikutan kerja-kerja memadamkan api di kawasan kilang cat berkenaan.

"LUAS sudah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terbabit yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Sungai Semenyih.

"Siasatan LUAS mendapati jarak insiden berkenaan ke muka sauk Jenderam Hilir ,Sungai Semenyih anggaran dalam 13.7 kilometer dan akan sampai ke muka sauk itu dalam tempoh sembilan jam.

"Ujian pensampelan bau sudah dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di Sungai Pajam, Sungai Beranang dan Sungai Semenyih yang mana kadar bau sifar ton direkodkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan juga sudah dimaklumkan untuk bersama-sama menjalankan siasatan di kawasan terbabit.

Katanya, LUAS meneruskan pemantauan ke lokasi Sungai Pajam dan mendapati keadaan air sungai itu adalah normal dan jernih selain mencatatkan bau sifar ton malam tadi.

Berdasarkan pemantauan statik LUAS sehingga jam 8 pagi tadi, di Jambatan Sungai Pajam, ujian pensampelan bau mencatatkan bacaan sifar ton dan aliran air sungai dalam keadaan normal.

"Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan LUAS meletakkan 10 beg 'activated carbon' (serbuk karbon teraktif) di Sungai Batang Benar untuk mencegah sebarang pencemaran bau dalam air mentah.

"Tindakan pantas di tapak berjaya mengelakkan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna," katanya.

Mengulas lanjut Loy Sian berkata, langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak terbabit bagi memastikan sumber air negeri terpelihara.

Berita Harian X