Selasa, 13 April 2021 | 12:30pm
Laporan akhbar BH semalam.
Laporan akhbar BH semalam.

Bersihkan tiga agensi daripada anasir 'musuh dalam selimut'

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan tiga agensi yang mengawal selia urusan pengimportan daging bebas sepenuhnya daripada 'musuh dalam selimut' bagi mengelak kegiatan kartel daging import bertapak semula.

Justeru, siasatan susulan perlu dilakukan, pada masa sama mengenal pasti sebarang kelompangan prosedur dan kawalan pengurusan import daging bagi membolehkan ia diperkemaskan.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan kartel daging import, siasatan susulan itu bukan mahu mencari kesalahan ketiga-ketiga agensi terbabit tetapi lebih kepada langkah membersihkannya daripada segelintir kakitangan yang tidak amanah dalam menjalankan tugas.

Terdapat tiga agensi yang terbabit dalam mengawal selia urusan pengimportan bekalan daging negara iaitu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Apa yang berlaku sebelum ini, ejen kartel akan sentiasa mencari peluang menawarkan habuan wang ringgit kepada kakitangan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu di pelbagai peringkat bahagian kawalan. Mereka juga sentiasa 'mencium' setiap kelompangan prosedur dan kawalan pengurusan import bekalan daging negara.

"Kita tidak menafikan ada yang teguh menjalankan amanah, namun ada juga yang hanyut kerana imbuhan lumayan, menyebabkan kuasa kartel daging semakin besar dan berakar umbi.

"Jika isu ini tidak diatasi dengan kemahuan yang tinggi bermula dari akarnya, ia akan berterusan menjadi duri dalam daging yang sukar diselesaikan," kata sumber berkenaan kepada BH, semalam.

Pada 7 Januari lalu, dua pegawai MAQIS Johor berusia 27 dan 31 tahun direman mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, untuk siasatan kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah, berhubung kemasukan daging beku tidak dibenarkan oleh JPV.

Pada 19 Januari lalu pula, tiga lagi pegawai MAQIS Johor direman lima hari bermula untuk siasatan kes kartel daging, menjadikan lima pegawai jabatan berkenaan disiasat setakat ini.

Jumaat lalu, polis menumpaskan sindiket membawa masuk daging sejuk beku membabitkan 19 syarikat pengedar yang dipercayai mengaut keuntungan sehingga RM52 juta setahun.

Kegiatan kartel yang disyaki berkomplot dengan pengimport daging sejuk beku dari Brazil itu terbongkar selepas polis menahan 36 suspek, termasuk 10 wanita menerusi Op Kartel Daging di seluruh negara pada 9 April lalu.

Dalam sidang medianya di Johor Bahru kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata daripada 19 syarikat yang terbabit, tujuh adalah di Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing empat, Pulau Pinang (dua) manakala Perak dan Kedah, masing-masing satu.

Mengulas lanjut, sumber berkata, kelonggaran kawalan dan ketelusan membabitkan agensi utama mengawal selia import bekalan daging terbabit menyebabkan kewujudan kartel daging berakar umbi sejak sekian lama.

Katanya, isu penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal bukan sahaja menyebabkan imej Malaysia sebagai negara peneraju hab halal dunia tercalar, malah menyebabkan masyarakat negara ini hilang kepercayaan terhadap agensi awam.

"Hanya dengan iltizam bersungguh-sungguh sahaja dapat 'membersihkan' setiap bahagian bermasalah babitkan agensi penting yang mengawal selia urusan import bekalan daging negara ini," katanya.

Katanya, petugas di lapangan bukan sahaja perlu berintegriti, malah cekap memeriksa setiap bekalan, terutama makanan diimport.

"Kecekapan mereka dituntut sepanjang masa, bertindak tanpa berlengah dan sambil lewa supaya sebarang kemasukan diragui perlu disiasat serta-merta.

"Ada yang mencadangkan anggota yang mempunyai tanggungjawab besar ini ditukarkan dengan kerap bagi membolehkan isu integriti diselesaikan.

"Namun, bagi saya mereka yang menjadi 'barah' ini bukan sahaja perlu dikenakan tindakan tegas mengikut perundangan, tetapi perlu dikeluarkan terus daripada perkhidmatan awam.

"Barah ini jika ditukarkan ke unit lain akan terus menjadi 'petualang' yang akan mencemar serta membahayakan perkhidmatan di mana sahaja mereka bertugas," katanya.

Berita Harian X